CYERBJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedang melaksanakan proses penyusunan semula melibatkan beberapa bahagian dan sayap parti susulan peletakan jawatan ketua serta ahli jawatankuasa di peringkat berkenaan.
Presidennya, Muhyiddin Yassin, berkata sebuah Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi mengendalikan proses tersebut, dipengerusikan bersama oleh Naib Presiden Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu.
Menurut beliau, Setiausaha Agung parti, Mohamed Azmin Ali, akan bertindak sebagai sekretariat kepada pasukan berkenaan.
Katanya, Ketua-Ketua Badan Pimpinan Negeri telah diarahkan mengenal pasti bahagian yang terlibat bagi membolehkan proses penyusunan semula dilaksanakan mengikut perlembagaan parti.
“Penyusunan semula ini akan melibatkan pemangkuan jawatan Ketua Bahagian atau pembentukan jawatankuasa bahagian baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sayap-sayap parti yang turut terlibat dengan peletakan jawatan akan disusun semula melalui pelantikan pemangku atau pembentukan kepimpinan baharu.
Muhyiddin berkata BERSATU mempunyai barisan pelapis serta ahli aktif di setiap bahagian yang bersedia memikul tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa ahli yang setia akan tampil ke hadapan untuk menggalas amanah kepimpinan parti.
Dalam masa sama, beliau menegaskan BERSATU kekal komited kepada perjuangan Perikatan Nasional.
Sehubungan itu, Muhyiddin memaklumkan beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 22 Februari ini, yang dijangka memutuskan pelantikan Pengerusi gabungan berkenaan serta perkara berkaitan pengukuhan dan pemerkasaan PN.



