Pemuda UMNO Semberong selar Pemuda PH Johor, dakwa fakta gangguan air diputar belit

JOHOR BAHRU, 20 Feb 2026 — Ketua Pemuda UMNO Bahagian Semberong, Hafiz Arifin menyelar Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor susulan dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Pontian dengan pembangunan pusat data, sambil menegaskan kenyataan tersebut dibuat tanpa fakta yang tepat.

Hafiz yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia berkata gangguan bekalan air berjadual di kawasan berkenaan berpunca daripada kemarau berpanjangan yang menyebabkan penyusutan sumber air mentah, dan bukan disebabkan oleh pusat data seperti didakwa.

“Kemarau berpanjangan menyebabkan penyusutan sumber air mentah. Ini adalah punca gangguan bekalan air berjadual di Simpang Renggam dan Pontian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada sebarang pusat data terletak di kawasan Machap dan Simpang Renggam, sekali gus menolak dakwaan pihak tertentu yang cuba mengaitkan pembangunan pusat data dengan gangguan bekalan air di kawasan tersebut.

“Dekat Machap dan Simpang Renggam mana ada pusat data,” katanya.

Dalam masa sama, Hafiz menuduh Pemuda PH Johor sengaja memainkan isu berkenaan bagi tujuan politik, termasuk cubaan meraih sokongan menjelang perkembangan politik semasa.

“Bila malas buat kajian, sembrono buat kenyataan nampak sangat tak bijak. Ya kita tahu awak semua tengah cuba cari isu, tapi biarlah berwibawa dan bermaruah,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh Pemuda PH Johor bagi menangani isu kemarau dan kekurangan bekalan air, sambil menyifatkan kritikan semata-mata tanpa penyelesaian sebagai tidak membantu rakyat.

“Selain kritik dan melahirkan kebimbangan, apa cadangan penyelesaian untuk masalah kemarau dan kurang air ini? Tunjuklah usaha sikit,” katanya.

Hafiz turut menyindir Pemuda PH Johor supaya memberi tumpuan kepada isu lain di negeri yang ditadbir mereka, termasuk isu ladang babi, berbanding membuat dakwaan yang menurutnya tidak berasas.

Kenyataan beliau dibuat susulan polemik berhubung gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Pontian, yang sebelum ini turut dinafikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang menjelaskan masalah tersebut berpunca daripada kemarau dan bukan pembangunan pusat data.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat