JOHOR BAHRU, 20 Feb 2026 — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan dakwaan bahawa pembangunan pusat data menjadi punca gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut.
Beliau sebaliknya menegaskan masalah tersebut berpunca daripada faktor kemarau berpanjangan dan penyusutan sumber air mentah.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap dan Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam menyifatkan kenyataan Pemuda Pakatan Harapan Johor yang mengaitkan gangguan bekalan air dengan pembangunan pusat data sebagai bermotif politik dan tidak bertanggungjawab.
“Saya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda Pakatan Harapan yang cuba mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data di negeri ini. Kenyataan tersebut berunsur politik dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang pusat data terletak di kawasan Simpang Renggam dan Benut, malah pusat data terdekat berada di kawasan Perindustrian Sedenak dan tidak menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam.
“Gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan Simpang Renggam dan Benut adalah berpunca daripada faktor kemarau berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah, dan bukan sama sekali disebabkan oleh pembangunan pusat data seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu,” katanya.
Menurut beliau, LRA Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara, termasuk Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam, Machap, Tampok, Benut dan Api-Api.
Beliau turut menjelaskan bahawa kawasan agihan air daripada LRA Simpang Renggam tidak mempunyai sebarang pusat data, manakala pusat data di Sedenak pula menerima bekalan daripada LRA Semangar yang sumber air mentahnya diperoleh daripada Sungai Johor, bukan Empangan Machap.
“Fakta ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air di Simpang Renggam dan Benut dengan pembangunan pusat data adalah tidak benar dan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan Bekalan Air Berjadual (BAB) yang bermula sejak 7 Februari lalu kini telah ditamatkan sepenuhnya susulan peningkatan paras air Empangan Machap dan operasi loji rawatan air yang kembali stabil.
“Semua rumah kini mendapat bekalan air seperti biasa. Keputusan ini dibuat susulan perkembangan positif paras air Empangan Machap serta loji rawatan air yang kini beroperasi secara optimum selepas tempoh pemantauan rapi,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan hak rakyat terhadap bekalan air bersih dan memberi jaminan bahawa pembangunan ekonomi, termasuk pelaburan pusat data, dilaksanakan secara seimbang dengan keperluan infrastruktur asas.
“Saya menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila melibatkan keperluan asas rakyat dan pelaburan strategik negeri,” katanya.



