Lebih 50 rakyat Malaysia kini menjalani hukuman penjara di Selatan Thailand

KUALA LUMPUR – Ada 56 orang rakyat Malaysia kini sedang menjalani hukuman penjara di enam buah penjara di Selatan Thailand dengan sebahagian besar bilangan mereka terlibat dalam kesalahan dadah dan menjadi keldai akaun penipuan dalam talian.

Menurut Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, bilangan itu diperolehi berdasarkan rekod yang diserahkan pihak penjara di 15 wilayah Selatan Thai sehingga 3 September lepas.

Beliau berkata jumlah itu membabitkan 30 orang menjalani hukuman di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Penjara Na Thawi di Songkhla (12), Penjara Pusat Songkhla (sembilan); dua masing-masing di Penjara Pusat Wilayah Surat Thani dan Penjara Pusat Wilayah Yala manakala seorang di Penjara Pusat Wilayah Satun (1).

Bagi beliau, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana ada penjara yang tidak memberi laporan kepada pihak konsulat.

“Daripada jumlah yang dipenjara itu, 44 didapati bersalah kerana kes berkaitan dadah dengan majoritinya terlibat dengan penyeludupan, keldai akaun (4), kesalahan berkaitan imigresen (2), mencuri (2), senjata api (1), dan tiga kesalahan lain.

“Setakat maklumat yang diperoleh rakyat Malaysia yang ditahan di penjara berkenaan dijatuhi hukuman penjara antara setahun hingga 37 tahun. Seorang daripadanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala seorang lagi berdepan hukuman mati kerana terlibat dalam kes pembunuhan,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata pihaknya turut melakukan lawatan konsular berkala ke penjara berkaitan selain membantu mengesan dan menghubungkan mereka dengan waris di Malaysia.

Katanya, dua pertemuan diadakan pada Mac dan Jun lalu di Penjara Pusat Narathiwat serta Songkhla bagi memberi nasihat berkaitan proses perundangan termasuk imigresen sekiranya terdapat banduan yang akan dibebaskan.

“Kami mengadakan kira-kira lima lawatan konsular setahun di penjara bagi bertemu banduan rakyat Malaysia. Bagi banduan yang akan dibebaskan, konsulat akan mengeluarkan Sijil Perakuan Cemas kepada banduan individu itu supaya mereka dapat kembali ke Malaysia,” katanya.

Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi, menghormati dan tidak mengambil mudah undang-undang sekiranya mereka berada di Thailand.

“Pejabat diplomatik tidak mempunyai kuasa dan perlu menghormati pelaksanaan proses undang-undang negara tempatan sekiranya hukuman telah ditetapkan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat