Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Proses tawaran haji musim 1447H /2026M telah berjalan dengan lebih lancar dan kuota haji yang diperuntukkan telah diisi sepenuhnya, dan permohonan rayuan musim ini akan ditutup mulai 1 Ramadhan 1447H, umum Lembaga Tabung Haji (TH).
“TH telah menerima sekitar 85,000 permohonan rayuan haji bagi musim 1447H/2026M berbanding kuota tahunan sebanyak 31,600, ”kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hj. Mustakim Mohamad.
“Alhamdulillah, untuk tahun ini, dengan inisiatif penambahbaikan TH terutamanya peringatan agar bakal jemaah membuat persediaan, kuota haji rasmi negara telah dapat dipenuhi lebih awal, ”kata beliau dalam kenyataan.
Menurutnya, hasil usaha ini adalah kadar penangguhan yang jauh lebih rendah iaitu 18 peratus (%) bagi musim ini berbanding 50 % pada tahun lalu dan berdasarkan jumlah rayuan yang tinggi.
“Permohonan rayuan yang telah diterima sebelum tarikh ini kekal dalam pertimbangan TH. Sekiranya berlaku kekosongan saat akhir akibat penangguhan atau pembatalan.
“Pengisian akan dibuat daripada senarai rayuan sedia ada berdasarkan merit dan kriteria yang ditetapkan, ”jelasnya.
“TH ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan oleh semua bakal jemaah haji dan semoga semua usaha mereka mendapat ganjaran sebaiknya di sisi Allah SWT. TH akan terus menumpukan usaha bagi memastikan kelancaran operasi haji musim ini, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan bermula pada 18 April 2026, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei 2026, dengan hari Wukuf dijangka pada 26 Mei 2026.-SUARA.TV



