RAWANG, – Yayasan Kubra menegaskan tanah di Taman Rawang Perdana yang menjadi pertikaian adalah milik sah yayasan itu dan berdaftar mengikut undang-undang, susulan kontroversi melibatkan aktiviti pencerobohan tanah dan perobohan struktur di lokasi berkenaan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Yayasan Kubra menafikan naratif provokatif, fitnah dan penyelewengan yang disebarkan oleh segelintir pihak berhubung status pemilikan tanah tersebut.
Menurut yayasan itu, tanah berkenaan dimiliki secara sah di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 dan semua tindakan yang diambil termasuk rundingan, pengeluaran notis serta pemasangan halangan sejak 2018 adalah selaras dengan prosedur undang-undang.
Yayasan Kubra menegaskan tindakan pihak tertentu yang terus menduduki tanah tersebut tanpa kebenaran merupakan pencerobohan yang melanggar kedaulatan undang-undang.
Kontroversi tersebut sebelum ini mendapat perhatian apabila aktivis Tamim Dahri bersama pemegang amanah yayasan dan beberapa individu lain terlibat dalam kerja pembersihan dan perobohan sebuah kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di atas tanah milik Yayasan Kubra.
Tamim kemudian dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan ditahan bagi membantu siasatan, sebelum dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan reman tambahan terhadapnya.
Dalam kenyataan berasingan, Tamim mendakwa beliau dibogelkan, dibentak dan dilayan seperti penjenayah ketika ditahan di lokap, selain mempersoalkan layanan yang menurutnya berbeza berbanding pengalaman tahanan lain sebelum ini.
Bagaimanapun, Yayasan Kubra menegaskan isu sebenar adalah berkaitan hak milik hartanah dan penguatkuasaan undang-undang, bukan isu agama atau kaum seperti yang cuba digambarkan oleh sesetengah pihak.
Yayasan itu turut memaklumkan bahawa mereka telah merujuk perkara tersebut kepada Majlis Perbandaran Selayang melalui surat bertarikh 14 Mac 2022, yang mengesahkan pemilik tanah bertanggungjawab menyelesaikan isu berkaitan struktur yang didirikan di atas tanah milik mereka.
Dalam masa sama, Yayasan Kubra memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana portal media, individu atau organisasi yang terus menyebarkan naratif fitnah berkaitan isu tersebut.
“Yayasan Kubra akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana portal media, individu atau organisasi yang menyebarkan naratif fitnah terhadap kami,” menurut kenyataan itu.
Yayasan Kubra turut menyeru semua pihak supaya merujuk kepada yayasan itu bagi mendapatkan maklumat tepat bagi mengelakkan kekeliruan serta ketegangan dalam masyarakat.



