Mohamed Ismi dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu Felcra

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Mohamed Ismi Abdul Majid dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad (Felcra) yang baharu bagi menggantikan Dato’ Idris Lasim yang telah bersara pada Disember lalu selepas lebih tiga dekad perkhidmatan cemerlang bersama Felcra, demikian umum Felcra.

Felcra dalam kenyataan berkata, Mohamed Ismi sebelum ini telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra selama hampir dua tahun, dengan rekod cemerlang dalam memperkukuh tadbir urus serta memacu transformasi organisasi.

“Kerjayanya di Felcra bermula pada 1 September 2009, dan beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Wilayah Utara pada 2012 serta mempunyai pengalaman hampir enam tahun sebagai Ketua Pegawai Kewangan.

“Menerusi pengalaman luasnya lebih 30 tahun dalam bidang perakaunan dan kewangan, beliau memiliki kefahaman menyeluruh terhadap operasi lapangan serta keperluan warga luar bandar dan peserta Felcra, ”kata kenyataan itu.

Mohamed Ismi berkelulusan Diploma Perakaunan dari KUSZA (sekarang Universiti Sultan Zainal Abidin), kemudiannya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2009.

“Sejajar dengan kerangka Aspirasi Desa MADANI, beliau akan memimpin pengukuhan organisasi serta transformasi operasi berteraskan pendigitalan bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan memperkasa pembangunan luar bandar, dengan warga peserta Felcra sebagai fokus utama.

“Pendekatan ini selari dengan hala tuju Felcra sempena sambutan Jubli Intan 60 tahun penubuhannya, ”menurut Felcra.

Tambahnya, Lembaga Pengarah Felcra turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan Mohamed Ismi untuk menerajui usaha memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian berkaitan, institusi kewangan, rakan pelaburan, agensi kerajaan negeri serta warga peserta Felcra sebagai pemegang taruh utama, ke arah meningkatkan daya saing dan memastikan kelestarian organisasi.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran melalui Facebooknya berkata, Mohamed Ismi mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan organisasi serta perakaunan dan kewangan dapat dimanfaatkan bagi meneruskan agenda pengukuhan keupayaan Felcra. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat