Aktivis Tamim Dahri dakwa dibogelkan, dilayan seperti binatang oleh Polis Gombak

KUALA LUMPUR, — Aktivis Tamim Dahri mendakwa beliau dibogelkan dan dilayan seperti binatang ketika ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak selepas memberi keterangan berhubung perobohan sebuah kuil yang didakwa dibina secara tidak sah di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang.

Perobohan itu melibatkan Kuil Utchimalai Muneswaran yang didakwa dibina sejak 2018 di atas tanah milik yayasan berkenaan, dengan tindakan tersebut dilakukan oleh Tamim bersama pemegang amanah yayasan itu, Ustaz Ismail Mina, dan beberapa individu lain menggunakan jengkaut.

Menurut Tamim, kejadian berlaku ketika beliau bersama tiga individu lain menjalankan kerja pembersihan dan perobohan di tapak berkenaan sebelum didakwa dikepung sekumpulan lelaki bersenjata kayu dan besi rod, menyebabkan mereka menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata polis kemudian tiba di lokasi dan mengiringi mereka ke Balai Polis Rawang, sebelum kedua-dua pihak membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Tamim berkata beliau kemudiannya dipanggil hadir ke IPD Gombak pada 11 Februari bersama beberapa individu lain bagi memberi keterangan lanjut, sebelum dibawa ke unit siasatan jenayah dan ditahan untuk membantu siasatan.

Dalam catatan di media sosial, Tamim mendakwa beliau diarahkan menanggalkan pakaian sepenuhnya sebelum diberikan pakaian lokap, selain dibentak oleh anggota bertugas sepanjang tempoh tahanan.

“Kami dibogelkan sebelum diberikan baju lokap di hadapan anggota. Ketua lokap juga melayan kami sama seperti penjenayah yang lain,” dakwanya.

Beliau turut mendakwa layanan di Lokap Gombak amat berbeza berbanding pengalaman sebelumnya ditahan di Lokap Dang Wangi pada 7 Februari lalu di bawah siasatan berkaitan Akta Hasutan, yang menurutnya lebih profesional dan berhemah.

Menurut Tamim, ketika ditahan di Lokap Dang Wangi, beliau diberikan layanan baik oleh anggota bertugas dan dibenarkan memiliki al-Quran sepanjang tempoh tahanan, yang menurutnya membantu beliau mengisi masa dengan membaca, berzikir dan bersolat.

Namun, di Lokap Gombak, beliau mendakwa permintaannya untuk mendapatkan naskhah al-Quran tidak dilayan, selain ditempatkan di dalam sel yang sesak dengan kira-kira 26 tahanan lain.

Beliau juga mendakwa keadaan sel tahanan tidak bersih, termasuk tandas terbuka tanpa pintu, selain ruang yang terhad sehingga memaksa tahanan tidur dan menunaikan solat berhampiran kawasan tandas.

Tamim turut mendakwa terdapat tahanan yang pengsan akibat keletihan, namun menurutnya permintaan untuk mendapatkan bantuan segera tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh anggota bertugas.

Menurut beliau, walaupun mereka membuat laporan polis selepas mendakwa dikepung dan diancam di lokasi kejadian, mereka pula yang ditahan dan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata permohonan reman tambahan terhadapnya bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum beliau dibebaskan beberapa hari kemudian.

Tamim dalam kenyataan sama menegaskan beliau tidak akan menghentikan perjuangannya berhubung isu rumah ibadat yang didakwa dibina tanpa kelulusan sah atau menceroboh tanah milik pihak lain.

“Aku bukan menentang kuil sah, aku menentang kuil haram. Demi Allah, aku tidak akan berhenti perjuangkan isu ini. Hanya dengan terpisahnya roh aku dari jasad, barulah perjuangan aku ini akan berhenti,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat