Ketua Penerangan PAS desak siasatan bebas dakwaan Bloomberg, gesa Azam Baki dan PMX berundur

KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan menjalankan siasatan bebas dan telus terhadap dakwaan serius melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti dilaporkan oleh agensi berita antarabangsa Bloomberg News.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ahmad Fadhli berkata laporan Bloomberg yang memetik dokumen mahkamah, rekod polis serta temu bual dengan lebih 20 individu termasuk saksi dalaman tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi menjejaskan integriti institusi penguatkuasaan negara.

Beliau menegaskan Bloomberg bukan organisasi media kecil atau tidak berwibawa, sebaliknya sebuah agensi berita kewangan antarabangsa yang terkenal dengan kewartawanan berasaskan dokumen dan semakan fakta yang ketat.

“Adalah sesuatu yang luar biasa dan amat membimbangkan apabila laporan sedemikian diterbitkan. Secara kebiasaan, organisasi media bertaraf global seperti ini tidak akan mempertaruhkan reputasi mereka dengan menyiarkan tuduhan serius tanpa sandaran sumber dan dokumentasi,” katanya.

Menurut beliau, antara dakwaan yang paling membimbangkan ialah kewujudan pola di mana sekumpulan ahli perniagaan didakwa terlebih dahulu membeli pegangan dalam syarikat sasaran sebelum siasatan SPRM terhadap pengasas syarikat bermula.

Laporan itu juga mendakwa akaun bank eksekutif dibekukan, mereka digantung daripada jawatan, dan ada yang akhirnya menjual saham pada harga jauh lebih rendah.

Ahmad Fadhli turut merujuk dakwaan bahawa individu berkepentingan hadir di ibu pejabat SPRM ketika sesi soal siasat berlangsung, malah dalam beberapa kes pegawai SPRM didakwa menerima arahan daripada pihak luar semasa proses siasatan.

Selain itu, laporan berkenaan turut memetik dakwaan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, kononnya pernah membuat panggilan bagi memohon supaya kes senjata api melibatkan seorang ahli perniagaan digugurkan.

“Jika benar, tuduhan ini amat berat dan berpotensi menggugat integriti institusi penguatkuasaan negara,” katanya.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan konsistensi kerajaan dalam menangani pendedahan antarabangsa, dengan merujuk kepada pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang yang pernah menggesa siasatan terhadap pendedahan global seperti Pandora Papers.

Beliau berkata prinsip yang sama sewajarnya terpakai dalam kes semasa, memandangkan laporan Bloomberg mengandungi dakwaan yang serius dan disokong oleh dokumentasi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membuka siasatan rasmi yang menyeluruh terhadap dakwaan tersebut.

Menurutnya, jika laporan Bloomberg tidak benar, kerajaan perlu mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi negara dan SPRM. Namun, jika kerajaan gagal atau enggan bertindak, ia akan menimbulkan persoalan besar mengenai keyakinan kerajaan terhadap kepimpinan institusi tersebut.

“Kepercayaan pelabur dan integriti institusi penguatkuasaan negara kini sedang dipertaruhkan. Malaysia pernah melalui episod hitam 1MDB yang menjejaskan reputasi negara di mata dunia,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menegaskan bahawa sekiranya tiada siasatan bebas dijalankan, Tan Sri Azam Baki wajar berundur bagi memelihara integriti SPRM, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak boleh lepas tangan kerana pelantikan dan lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya berada di bawah pentadbiran beliau.

“Dalam isu sebesar ini, prinsip akauntabiliti mesti ditegakkan. Rakyat Malaysia berhak mendapat jawapan. Dan dunia sedang memerhati,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat