MCMC Siasat Penyebaran Naratif Palsu Berunsur 3R di Media Sosial

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyebaran naratif palsu dan berunsur 3R di media sosial berhubung insiden kemalangan yang tular di Selangor sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya merujuk kepada kenyataan rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor yang mengesahkan insiden berkenaan berpunca daripada perselisihan faham peribadi berkaitan isu tanah dan laluan serta tidak melibatkan unsur gangsterisme atau perkauman.

Sehubungan itu, sebarang cubaan mengaitkan kejadian tersebut dengan isu 3R disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

Menurut MCMC, analisis yang dijalankan turut mengesan elemen tingkah laku tidak autentik secara terselaras (CIB) apabila kandungan sama disebarkan berulang kali di platform Facebook dan TikTok dalam tempoh singkat bagi memanipulasi persepsi awam.

Naratif sensasi serta pelabelan berunsur perkauman yang ditokok tambah disifatkan serius dan berpotensi mengancam ketenteraman awam. Setakat ini, sebanyak 40 akaun Facebook dan 10 akaun TikTok sedang diteliti bagi membantu siasatan.

MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap penyebaran kandungan palsu atau yang menghasut kebencian. Dalam hal ini, Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] melarang penyebaran atau penerbitan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta 588 sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat