KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Lembaga Disiplin Bersatu hanya keldai tunggangan untuk memburu Datuk Seri Hamzah Zainudin sahaja.
Bahkan Wan Saiful mendedahkan, dalam perjumpaan dengannya mereka (Lembaga Disiplin) ialah mencari salah Hamzah.
“Media melaporkan bahawa Lembaga Disiplin Bersatu telah memanggil Hamzah untuk pertemuan pada 12 Februari 2026. Media juga melaporkan bahawa ‘makhluk kesayangan’ Muhyiddin, Datuk Seri Azmin Ali, berkata “mana-mana ahli yang didapati melanggar peraturan perlembagaan atau peraturan parti dan sekiranya terdapat aduan bertulis, akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan selanjutnya.
“Sudah terang lagi bersuluh bahawa Muhyiddin dan penjilatnya menunggang Lembaga Disiplin untuk memburu Hamzah.
“Jika ragu-ragu, cuba dengar semula rakaman audio sesi perjumpaan saya dengan Lembaga Disiplin yang boleh diakses di: https://www.youtube.com/watch?v=qm4tHM1HG-g
“Rakaman itu cukup untuk membuktikan betapa Lembaga Disiplin hari ini hanya keldai tunggangan untuk memburu Hamzah sahaja. Dalam perjumpaan dengan saya, fokus mereka ialah mencari salah Hamzah,” dakwa bekas ahli MPT Bersatu itu lagi.
Dakwa Wan Saiful, Radzi Manan selaku pengerusi Lembaga Disiplin pula jelas sekali secara memilih-milih dalam menjalankan siasatan.
“Kalau dia rasa sesuatu aduan melemahkan kelompok mereka, maka aduan itu tidak dihiraukan. Tapi kalau aduan itu memperkukuh Muhyiddin dan Azmin, Radzi Manan berperangai macam monyet tertelan Viagra.
“Saya sendiri menghantar aduan berkaitan salah laku Azmin melalui surat bertarikh 29 September 2025. Cop Bersatu dengan jelas menyatakan penerimaan aduan saya pada 30 September 2025.
“Hari ini sudah lebih 4 bulan aduan itu dihantar. Tapi sudah pastilah tidak ada apa-apa tindakan mereka ambil terhadap Azmin.
“Iyalah… kalau mereka ambil tindakan terhadap Azmin, nanti kekasihnya yang berkuasa mutlak itu akan marah pula.
“Untuk menutup kesalahan Azmin, saya sebagai pengadu dan saksi-saksi yang saya namakan dalam surat aduan itu pula yang
mereka pecat dua minggu selepas mereka terima aduan saya,” dakwa beliau dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Ujarnya, itulah Lembaga Disiplin Bersatu di bawah Muhyiddin. Tidak bermaruah. Tidak beramanah.
“Itu baru satu aduan daripada saya sendiri. Belum lagi kita bercakap mengenai aduan-aduan lain yang tidak dipedulikan.
“Tidak ada apa lagi yang boleh diharap dari Lembaga Disiplin Bersatu,” keluh Wan Saiful.



