KUALA LUMPUR, — Kerajaan MADANI bersetuju memberikan diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, hasil keputusan Mesyuarat Kabinet yang diadakan semalam.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata pelaksanaan diskaun berkenaan melibatkan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM19.5 juta yang ditanggung kerajaan bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat.
Menurut beliau, keputusan itu sejajar dengan agenda Kerajaan MADANI dalam memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.
Katanya, pemberian diskaun tol tersebut diharap dapat meringankan kos perjalanan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga, selain mereka yang merancang percutian atau perjalanan awal menjelang Ramadan.
Diskaun tol itu akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam pada Sabtu, 14 Februari 2026 dan berakhir jam 11.59 malam pada Ahad, 15 Februari 2026.
Inisiatif berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang. Namun, ia tidak terpakai di plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Alexander Nanta menjelaskan, pemilihan tarikh berkenaan bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan utama, selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat di lebuh raya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan baik dan memanfaatkan diskaun tol tersebut secara berhemah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Pengguna disaran memuat turun aplikasi MyPLUS-TTA dan TuJu Highway Navigation App LLM bagi mendapatkan cadangan waktu perjalanan, selain sentiasa mematuhi papan tanda jalan, had laju serta maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System.
Orang ramai juga boleh menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di media sosial atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Kerajaan turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina 2026 dan berharap semua pengguna jalan raya tiba ke destinasi masing-masing dengan selamat.



