KUALA LUMPUR, — Bersatu Kuala Selangor menggesa tindakan disiplin diambil terhadap individu yang didakwa menjadi dalang kepada siri kritikan dan penghinaan terbuka terhadap kepimpinan parti, bukannya hanya menumpukan kepada individu bawahan yang bertindak sebagai “bidak-bidak” dalam percaturan politik dalaman.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia merangkap Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Datuk Harrison Hassan, berkata tindakan sebilangan pemimpin parti kebelakangan ini yang mengkritik dan memperlekeh kepimpinan secara terbuka adalah perbuatan biadab, tidak bertanggungjawab serta jelas mencabar disiplin parti.
Menurut beliau, perbuatan sedemikian tidak boleh diterima dalam sebuah parti politik yang berteraskan disiplin dan kesetiaan, apatah lagi apabila ia dilakukan secara terbuka sehingga mencemarkan imej parti di mata rakyat.
Dalam satu kenyataan media, Harrison mendakwa wujud dakwaan semakin kuat bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bukan sekadar berdiam diri, malah didakwa menjadi dalang kepada siri tindakan terancang yang bertujuan memperlekehkan kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta mencemarkan nama baik Bersatu.
Beliau berkata, tindakan itu bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik, malah merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan sah parti dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu yang menuntut setiap ahli serta pemimpin memelihara disiplin, menghormati struktur kepimpinan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan perpaduan parti.
“Bersatu bukan medan untuk permainan politik kotor atau agenda peribadi yang diselindungkan di sebalik sindiran dan ejekan. Mana-mana pemimpin yang melemahkan parti dari dalam, mempermalukan presiden secara terbuka dan menghasut perpecahan telah mengkhianati amanah ahli serta prinsip asas perjuangan,” katanya.
Harrison menegaskan, sekiranya benar Hamzah terlibat secara langsung atau tidak langsung sebagai perancang kepada tindakan-tindakan berkenaan, ia merupakan pelanggaran serius terhadap Perlembagaan parti dan etika kepimpinan yang tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, beliau mendesak Lembaga Disiplin Bersatu supaya segera membuka siasatan yang menyeluruh, telus dan tanpa sebarang perlindungan politik terhadap individu yang didakwa terlibat sebagai dalang.
Katanya, jika dakwaan itu dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas perlu diambil selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti kerana tiada sesiapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya.
Harrison turut memberi amaran bahawa Bersatu kini berdepan pilihan sama ada untuk berdiri sebagai parti yang berprinsip dan berdisiplin, atau membiarkan dirinya dihancurkan oleh pemimpin yang mementingkan nafsu kuasa dan agenda peribadi, yang akhirnya boleh menyebabkan parti kehilangan maruah serta kepercayaan rakyat.-SUARATV



