KUALA LUMPUR – Datuk Dr Akmal Saleh menjelaskan status beliau sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka yang didakwa tidak jadi letak jawatan.
Hal ini susulan kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan, Akmal masih lagi Exco Melaka kerana surat peletakan jawatan Adun Merlimau itu masih belum dibincangkan secara rasmi dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam sekali gus tiada keputusan rasmi mengenai perkara itu lagi.
Justeru Akmal tampil memberi penjelasan bahawa beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Ketua Menteri dan Tuan Yang Terutama (TYT) Melaka pada 19 Jan lalu namun, ketika itu Ali dan kemudiannya Ab Rauf pula sedang bercuti maka tiada perbincangan rasmi mengenai perkara berkenaan.
“Jadi belum ada perbincangan rasmi antara TYT dan juga Ketua Menteri Melaka. Oleh sebab jawatan Exco dilantik oleh TYT mengikut Perlembagaan Negeri. Jadi, nak tak nak, keputusan itu mesti datang daripada TYT dan mesti dibincangkan. Maka, kalau tak dibincang, betullah kata Ketua Menteri kata iaitu kalau tak dibincang, maka tak ada lah keputusan lagi.
“Insya-Allah dalam minggu ini akan ada beberapa perbincangan dan akan ada keputusan. Jadi, jangan risau, saya ni bukanlah macam pemimpin-pemimpin kamu yang bercakap saja, sembang-sembang-sembang tapi takut nak buat keputusan. Kita ni anak jantanlah.
“Kalau nak letak jawatan, kita cakap kita letak jawatanlah,” selar Akmal.
Menurut Ketua Pemuda Umno itu, beliau menunggu dan menghormati institusi.
“Sebab selagi mana tiada keputusan rasmi mengenai peletakan jawatan saya, saya tunggu dan harap surat peletakan jawatan saya diterima.
“Jadi, janganlah merentan sangat. Patut kamu kena tanya kepada pemimpin kamu tu yang suruh saya letak jawatan dan saya dah letak jawatan.
“Kamu yang menumpang di negeri Melaka ni, apa kamu buat? Berani letak jawatan? Tak berani. Sembang saja. Sebab apa? Takut. Takut hilang jawatan. Hilang pangkat. Hilang gaji berpuluh ribu kan?
“Kamu jagalah pemimpin kamu yang penakut tu. Saya bukan macam kamu. Jangan merentan-rentan sangat,” bidas Akmal.



