Tindakan Amerika Syarikat keluar Perjanjian Paris tidak jejaskan komitmen Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2026 – Penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris tidak menjejaskan komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim dan sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Kerian daripada PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang meminta penjelasan mengenai mekanisme pembiayaan alternatif susulan penarikan diri Amerika Syarikat daripada Perjanjian Paris dan kesannya terhadap Dana Iklim Hijau.

Arthur berkata, Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada Dana Iklim Hijau, sebaliknya memanfaatkan pelbagai mekanisme pembiayaan antarabangsa lain seperti Global Environment Facility dan Adaptation Fund.

Menurut beliau, prestasi Malaysia dalam mengakses dan menggunakan pembiayaan antarabangsa adalah memberangsangkan, dengan negara berada di landasan mencapai penggunaan penuh peruntukan di bawah Global Environment Facility Kitaran ke-8.

“Prestasi ini menjadi asas penting untuk mengekalkan keyakinan bagi peruntukan pembiayaan kitaran seterusnya, selain memastikan agenda mitigasi dan adaptasi perubahan iklim negara terus berjalan,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat.

Arthur turut memaklumkan Malaysia telah melaksanakan beberapa projek adaptasi berskala besar, termasuk pembangunan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan, bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi banjir, kemarau, kenaikan paras laut dan cuaca ekstrem.

Menurutnya, walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, asas tadbir urus dan perancangan awal yang kukuh memastikan sasaran iklim negara kekal boleh dicapai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat