PUTRAJAYA,— Kerajaan menegaskan bahawa pelaksanaan Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah antarabangsa bukan bersifat paksaan, sebaliknya dilaksanakan melalui pendekatan perbincangan, penyelarasan serta penelitian menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan.
Zambry Abd Kadir berkata, tanggapan bahawa kerajaan memaksa pelaksanaan dasar tersebut perlu diperbetulkan kerana ia melibatkan dasar pendidikan negara yang memerlukan penelitian rapi serta pelaksanaan berperingkat.
“Ini bukan soal paksaan. Kita kena perbetulkan tanggapan yang menganggap ia sebagai desakan dan sebagainya. Apa yang kita lihat ialah ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Jom Masuk Universiti (JMU) Zon Wilayah (Premier) di Dewan Seri Siantan, Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, kerajaan telah memulakan perbincangan mendalam berkaitan perkara itu melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah-sekolah lain termasuk sekolah Indonesia, memandangkan isu tersebut berkait rapat dengan pensijilan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, Menteri Pendidikan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa kelompok berkepentingan dan hasil perbincangan itu kini diteliti dari sudut kelulusan serta pengiktirafan, bagi memastikan keselarasan dengan keperluan kemasukan ke universiti.
“Perbincangan lanjut akan melibatkan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi serta Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), khususnya dari segi kualiti dan pengiktirafan,” katanya.
Zambry menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan dasar itu tidak akan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan semakan terhadap akta sedia ada serta beberapa pindaan sebelum dimuktamadkan.
Beliau berkata, pendekatan berperingkat (step-by-step) perlu diambil bagi memastikan pelaksanaan dasar tidak mengganggu sistem pendidikan sedia ada, selain mengambil kira kepelbagaian silibus dan kaedah pengajaran yang diamalkan oleh sekolah antarabangsa serta sekolah agama.
Dalam perkembangan sama, Zambry memaklumkan bahawa Program Jom Masuk Universiti (JMU) yang bermula di Putrajaya menerima sambutan menggalakkan, dengan lebih 40,000 pengunjung hadir secara fizikal dan lebih 340,000 penyertaan secara dalam talian setakat ini.
Program tersebut, katanya, bertujuan membantu pelajar memahami peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi, termasuk laluan universiti, institusi teknikal serta bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi baharu negara.



