JOM Masuk Universiti 2026: Pelajar Diseru Berani Bentuk Masa Depan, Pendidikan Tinggi Bukan Sekadar Destinasi

PUTRAJAYA,1 Jan – Para pelajar yang menghadiri Karnival Jom Masuk Universiti (JOM MASUK UNI) 2026 diseru agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan bagi menentukan hala tuju pendidikan dan masa depan mereka secara lebih berani serta berwawasan.

Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Lt Jen Datuk Wira Arman Rumaizi bin Haji Ahmad, menegaskan bahawa pendidikan tinggi tidak wajar dilihat sekadar sebagai destinasi akhir, sebaliknya merupakan satu perjalanan yang menuntut keberanian untuk belajar, kebijaksanaan membuat penilaian serta kesungguhan membentuk jati diri.

Menurut beliau, karnival tersebut berperanan sebagai platform strategik untuk membantu pelajar meneroka laluan pendidikan yang bersesuaian dengan minat dan kelayakan masing-masing, di samping memperoleh maklumat jelas berkaitan program pengajian dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Gunakan peluang ini sebaik mungkin. Pendidikan tinggi menuntut keberanian membuat keputusan, keupayaan menilai hala tuju dan komitmen membentuk diri sebagai insan berilmu serta berakhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jom Masuk Universiti (JMU) Zon Wilayah (Premier) di Dewan Seri Siantan, Putrajaya, hari ini.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Kementerian Pendidikan Tinggi atas kepercayaan yang diberikan kepada UPNM untuk dilantik sebagai rakan strategik penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Wilayah, dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya sempena Hari Terbuka Putrajaya.

Beliau berkata, penganjuran JOM MASUK UNI bukan sekadar memberi pendedahan kepada institusi pengajian tinggi, malah membimbing pelajar memahami bahawa proses melanjutkan pengajian merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembentukan pemikiran, disiplin dan kepimpinan diri.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran pelajar dan bakal pelajar untuk memeriahkan siri jelajah seterusnya Karnival Jom Masuk Universiti 2026 yang akan berlangsung secara serentak pada 7 hingga 8 Februari 2026 (Sabtu dan Ahad).

Jelajah berkenaan akan diadakan di dua lokasi utama iaitu Zon Timur di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu serta Zon Sabah I di Kompleks Sukan Tawau, Tawau, Sabah.

Orang ramai diseru agar tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut bagi mendapatkan maklumat menyeluruh serta bimbingan langsung daripada institusi pengajian tinggi dalam usaha mencorak masa depan pendidikan yang lebih gemilang.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat