KUALA LUMPUR – Kementerian Luar melalui Jabatan Hal Ehwal Maritim Malaysia semalam, menyambung sesi rundingan bersama Singapura bagi membincangkan berhubung kawasan sempadan maritim antara kedua-dua negara termasuk isu Batu Puteh.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rundingan antara kedua-dua negara diteruskan bukan sahaja membincangkan soal Batu Puteh, namun penyelesaian terhadap beberapa kawasan sempadan maritim lain berasaskan undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, asas rundingan adalah bagi memastikan hak kedaulatan negara tidak tergugat dan ia sedang diuruskan dengan baik.
“Rundingan persempadanan maritim khususnya antara Malaysia dan Singapura sedang berlangsung dan diurus dengan baik.
“Baru semalam kita punya Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim berunding dengan pihak Singapura… rundingan ini bukan satu saja, namun ada banyak kawasan yang merupakan kawasan sempadan maritim antara kedua-dua buah negara.
“Jadi kita mahu melihat supaya ia diurus dengan baik dan keputusan kita itu nanti adalah mesti mengikut keputusan yang berasaskan kepada undang-undang antarabangsa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam bin Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh serta langkah diambil kerajaan bagi menanganinya.
Pada masa sama, Mohamad berkata, kedua-dua negara berjiran turut mengadakan ‘Annual Leaders Retreat’ bagi mencari jalan untuk menyelesaikan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura, lapor BH pada Khamis.
“Berhubung aspek sempadan maritim, maka kita perlu berlandaskan kepada undang-undang laut United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982. Itu asas kita.
“Rundingan kita berasaskan kepada undang-undang. Undang-undang antarabangsa kita gunakan. Jadi apa juga rundingan, apa juga keputusannya nanti kita sentiasa mengambil kira menjaga hak kedaulatan negara kita,” katanya.



