KOTA KINABALU, 21 Januari 2026 — Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Panglima Arthur Joseph Kurup, dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang baharu menggantikan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang meninggal dunia bulan lalu.
Menurut Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, perkara tersebut diumumkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi, malam ini.
Dalam mesyuarat sama, Jaffry dilantik sebagai Timbalan Pengerusi BN Sabah, manakala Datuk Mohd Hasnol Ayub pula dilantik sebagai Setiausaha BN Sabah.
Arthur Joseph Kurup merupakan Presiden PBRS, sebuah parti komponen Barisan Nasional, selain memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam di peringkat Persekutuan.
Pelantikan beliau sebagai Pengerusi BN Sabah dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan gabungan itu secara lebih inklusif dan selari dengan realiti politik negeri Sabah.
Sementara itu, Jaffry Ariffin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden BN, sambil menegaskan bahawa amanah tersebut merupakan satu tanggungjawab besar yang akan digalas dengan penuh komitmen, integriti dan disiplin.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin, meletakkan kepentingan parti dan rakyat Sabah sebagai keutamaan, serta bekerja secara berterusan bagi memperkukuh Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan politik yang terus diyakini rakyat.
Pelantikan kepimpinan baharu ini dilihat sebagai usaha Barisan Nasional menyusun semula kekuatan organisasi di Sabah, termasuk memperkemas jentera parti dan memperkukuh kesepaduan dalaman menjelang cabaran politik akan datang.- SuaraTV



