KUALA LUMPUR -IJM Corporation Bhd tampil memberi penjelasan berhubung laporan media yang tersebar semalam sambil menegaskan komitmennya untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta menolak sebarang dakwaan salah laku.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, IJM memaklumkan Pengerusinya Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan telah memberikan kerjasama penuh dalam proses berkenaan.
Katanya, beberapa kakitangan lain yang diminta untuk memberikan maklumat turut memberi kerjasama sepenuhnya sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
“Pengerusi kami, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai SPRM petang ini dan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Syarikat serta rakan sekutu kami di United Kingdom (UK) juga tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Pejabat Penipuan Serius (SFO) UK.
“Kami tidak pernah dihubungi (oleh SFO) dan sebarang laporan yang mencadangkan sebaliknya adalah tidak tepat,” katanya.
Mengulas laporan yang merujuk kepada seorang individu sebagai penasihat syarikat, IJM menjelaskan individu berkenaan sebelum ini hanya dilantik secara profesional bagi menyediakan khidmat nasihat berkaitan sejumlah terhad urus niaga korporat.
Syarikat itu menegaskan individu terbabit bukan penasihat tetap seperti yang digambarkan dalam laporan media berkenaan.
IJM juga menolak sekeras-kerasnya sebarang dakwaan pengubahan wang haram, khususnya yang dikaitkan dengan pelaburannya di United Kingdom.
“Sejak 2012, pelaburan IJM di negara berkenaan dibiayai terutamanya melalui kemudahan pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan Malaysia sebelum disalurkan kepada syarikat tujuan khas bagi projek berkaitan.
“Pelaburan ini telah melalui proses penilaian perniagaan serta tadbir urus dalaman yang ditetapkan oleh kumpulan,” katanya menurut BH.
IJM menegaskan komitmennya untuk mengekalkan standard tinggi tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti dalam semua urusan perniagaan.
Syarikat itu turut memaklumkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan material akan diumumkan mengikut keperluan pendedahan yang ditetapkan.



