KUALA LUMPUR – Kanak-kanak di mana ibu bapa mereka mahu memulakan persekolahan Tahun 1 pada usia 6 tahun perlu lulus saringan diagnostik ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) selain mesti mengikuti prasekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan, saringan itu bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan pembelajaran dan kebolehsuaian kanak-kanak terhadap pembelajaran formal.
Kata beliau, keputusan saringan diagnostik KPM dan pilihan ibu bapa secara sukarela akan menjadi penentu kemasukan kanak-kanak 6 tahun ke Tahun 1.
Menurut Fadhlina, struktur persekolahan bagi anak-anak yang memulakan persekolahan Tahun 1 pada umur 6 tahun juga tidak berubah dan tetap selama 6 tahun.
“Sepanjang tempoh ini perkembangan murid akan dipantau pihak sekolah dan sokongan pembelajaran bersesuaian akan diberikan bagi membantu murid menyesuaikan diri,” katanya.
Fadhlina memaklumkan, KPM juga bersedia dengan perubahan itu termasuk sedang menambah kelas prasekolah di seluruh negara.
“Perancangan turut dilakukan untuk menyediakan bilik darjah tambahan dan prasarana lain secara bersasar. Keperluan tambahan guru juga sedang ditangani secara proaktif,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Datuk Seri Ibrahim mengumumkan ibu bapa boleh mendaftar anak seawal enam tahun bagi Tahun 1, bermula 2027 bagi memberi peluang pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak yang sudah bersedia.
Berucap pada majlis peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, Anwar berkata ibu bapa boleh mendaftar anak seawal lima tahun ke prasekolah.
Anwar berkata kemasukan awal ini mencerminkan tuntutan perubahan zaman, namun pentadbirannya belum bersedia mewajibkan perkara ini kerana mungkin ada ibu bapa merasakan anak belum bersedia.



