CYBERJAYA – Sayap pemuda PKR di Pulau Pinang menzahirkan ketidaksetujuan mereka terhadap cadangan menukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane, yang dikaitkan dengan gesaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng. 
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, berkata perubahan nama tersebut bukan sahaja tidak memberi manfaat jelas kepada komuniti, malah berpotensi mengundang kekeliruan dalam kalangan penduduk setempat. 
“Sebarang usaha menukar nama jalan yang telah digunakan sejak sekian lama tanpa keperluan mendesak hanya akan mengelirukan penduduk serta menimbulkan ketidakselesaan awam.” 
Zakwan menekankan bahawa nama Jalan Pantai Bersih telah lama sebati dengan identiti masyarakat setempat, mencerminkan sejarah dan memori kolektif kawasan tersebut sejak dahulu. 
“Nama Jalan Pantai Bersih telah mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah lama mendiami kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 
Beliau berpendapat bahawa dalam situasi rakyat kini bergelut dengan isu seperti kos sara hidup, perumahan dan kebajikan, perubahan nama jalan dianggap sebagai tindakan simbolik yang tidak mencerminkan keutamaan sebenar masyarakat. 
Zakwan turut berharap agar pihak berkuasa negeri mengambil kira pandangan penduduk sebelum membuat sebarang keputusan rasmi, demi menjaga keharmonian masyarakat pelbagai kaum serta mengekalkan warisan dan identiti tempatan. 



