KUALA LUMPUR — Satu hantaran ringkas Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, yang hanya memaparkan perkataan “Mengecewakan” di media sosial mencetuskan persoalan berhubung nasib usul menaikkan had umur Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kepada 40 tahun yang dibangkitkan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.
Hantaran tersebut, yang dimuat naik sejurus berakhirnya perhimpunan berkenaan tanpa sebarang penjelasan lanjut, dilihat sebagai luahan simbolik terhadap ketiadaan keputusan muktamad berkaitan usul itu, sekali gus mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan akar umbi Puteri.
Nada kekecewaan itu kemudiannya dizahirkan secara lebih terbuka oleh Ketua Penerangan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi, yang mempersoalkan sikap berdiam diri pimpinan parti terhadap usul yang telah dibangkitkan berulang kali sejak beberapa tahun lalu.
Dalam satu kenyataan panjang di media sosial, Shamellya menyifatkan ketiadaan jawapan jelas sama ada menerima atau menolak sebagai satu bentuk jawapan tidak rasmi kepada Puteri UMNO. https://www.facebook.com/share/p/16hYqAABot/
“Bila Pergerakan Puteri UMNO Malaysia nak kata putus usul kami sahaja, its either YES or NO, pun diam seribu bahasa,” katanya.
Walaupun tiada kenyataan rasmi mengesahkan usul tersebut ditolak, reaksi dua pimpinan utama Puteri UMNO itu mencetuskan persoalan sama ada cadangan menaikkan had umur keahlian daripada 35 kepada 40 tahun benar-benar diberi pertimbangan serius oleh kepimpinan tertinggi parti.
Shamellya turut mempersoalkan komitmen parti terhadap agenda pemerkasaan wanita apabila isu asas melibatkan Puteri masih tergantung tanpa noktah.
“Kalau usul Puteri 40 tahun pun tak dipandang serius, apatah lagi kuota 30 peratus wanita,” katanya, sambil menegaskan Puteri tetap setia dan terus melaksanakan tanggungjawab yang digalas.
Lebih pedas, beliau turut menyentuh laungan di “dewan keramat” yang didakwa merendahkan martabat Puteri secara terbuka, sekali gus menambah rasa kecewa dalam kalangan akar umbi sayap itu.
Luahan terbuka Ketua Penerangan Puteri ini, digandingkan dengan posting simbolik Ketua Puteri, memberi gambaran wujudnya rasa tidak puas hati yang semakin sukar disembunyikan bukan semata-mata kerana penolakan, tetapi kerana kekosongan jawapan.
Persoalannya kini, adakah “diam” itu sekadar strategi menenangkan keadaan, atau isyarat jelas bahawa suara Puteri masih belum cukup kuat untuk menentukan hala tuju mereka sendiri?



