Melayu, Bumiputera perlukan gabungan tulen, bukan muslihat kekalkan Kerajaan Perpaduan – Tun Faisal

KUALA LUMPUR, — Orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia memerlukan satu gabungan politik yang benar-benar tulen dan berprinsip, bukannya muslihat politik yang ditaja semata-mata untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan PH-BN, tegas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Faisal Ismail.

Menurut Tun Faisal, apa yang diperlukan rakyat ketika ini bukanlah gabungan parti-parti Melayu dan Islam yang berfungsi sebagai sokongan kepada kerajaan sedia ada, sebaliknya satu gagasan payung besar yang genuinely berjuang untuk kepentingan agama Islam, ummah serta orang Melayu dan Bumiputera, selain mampu tampil sebagai alternatif kepada kerajaan yang memerintah.

Beliau menjelaskan idea pembentukan Payung Besar Melayu lahir sebagai reaksi terhadap kelemahan pemimpin-pemimpin Melayu dan parti-parti berjenama Melayu dalam Kerajaan Perpaduan, yang menurutnya gagal mempertahankan agenda Melayu-Islam secara berkesan dan berprinsip. Katanya, tujuan payung besar itu adalah untuk menyatukan kekuatan politik Melayu-Islam serta keupayaan rakyat Melayu-Islam agar kepentingan agama, ummah dan bangsa tidak terus dipinggirkan, malah diperkasa dan diperkukuhkan.

Tun Faisal turut menyatakan bahawa penyatuan suara protes rakyat dan parti-parti pembangkang melalui Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) merupakan manifestasi jelas penolakan terhadap kegagalan kerajaan PH-BN mengurus ekonomi negara, hutang, kos sara hidup, integriti institusi penguatkuasaan, sistem perundangan dan kehakiman, selain isu kedaulatan serta kebebasan ekonomi negara. Menurutnya, kegagalan itu termasuk kesan perjanjian perdagangan yang didakwa berat sebelah seperti Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Amerika Syarikat dan Malaysia (ART).

Beliau menegaskan bahawa gagasan-gagasan seperti Payung Besar Melayu dan IPR terbentuk bukan sekadar pada nama, tetapi lahir sebagai jawapan kepada kegagalan Kerajaan Perpaduan PH-BN. Katanya, gagasan ini merupakan alternatif politik yang pada akhirnya pasti menggugat kedudukan kerajaan sedia ada.

Sehubungan itu, Tun Faisal berpandangan cadangan Kerjasama Agung parti-parti Melayu dan Islam yang ditaja oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dilihat lebih bersifat diversion atau muslihat politik untuk menyokong dan mengekalkan Kerajaan Perpaduan, bukannya usaha membina alternatif politik yang sebenar.

Beliau menegaskan bahawa apa yang diperlukan oleh orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia hari ini bukanlah gagasan yang mempertahankan kerajaan yang gagal, tetapi satu payung besar yang berani tampil sebagai penyelesaian dan alternatif, sedangkan UMNO dan Barisan Nasional sendiri merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang dipertikaikan prestasinya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat