KUALA LUMPUR – Semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
“Saya berterima kasih kerana Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, atas kenyataan yang sangat jelas berkenaan perkara ini.
“Kita akan ambil perhatian dan menunggu laporan untuk meneliti sebarang kelompongan atau kelemahan dalam sistem perolehan, supaya proses dipatuhi sepenuhnya,” katanya lapor Bernama pada Jumaat.



