KUALA LUMPUR — UMNO menegaskan bahawa parti itu bukan milik mana-mana individu, sebaliknya merupakan amanah bersama seluruh ahli yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab, selari dengan usaha memperkukuh penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata penegasan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 memberi isyarat jelas bahawa proses pembaharuan dan penyatuan parti mesti digerakkan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan semua peringkat, khususnya suara akar umbi.
Menurut beliau, dalam landskap politik yang semakin mencabar dan mudah dipengaruhi emosi serta sentimen sempit, pendekatan berteraskan kesabaran, tanggungjawab dan kesetiaan kepada prinsip merupakan asas penting bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
“UMNO sebagai rumah bangsa perlu kekal menjadi ruang yang menyatukan, bukannya medan perbalahan. Hanya dengan kesatuan dalaman yang kukuh, kekuatan politik Melayu-Islam dapat diperkukuh secara berwibawa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa kesediaan mendengar suara akar umbi, menolak politik adu domba serta berpegang teguh kepada semangat perjanjian merupakan elemen penting dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Tambahnya, UMNO perlu terus tampil sebagai wadah penyatuan ummah yang matang dan bertanggungjawab, agar kekal relevan sebagai tiang seri kepada kestabilan politik dan masa depan negara.



