KUALA LUMPUR -Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program “Glamping with Pride” yang akan diadakan pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor terkait dengan komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
Baginda menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan dalam Negeri Selangor.
Tegas Baginda, walaupun perbuatan tersebut melibatkan dosa individu dengan Allah SWT yang melangkaui batas fitrah, namun perbuatan ini boleh mengundang kemurkaan serta laknat daripada Allah SWT ke atas Negeri Selangor.
Dalam kenyataan media, Sultan Selangor, pada hari ini, 12 Januari 2026, telah menitahkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Datuk Anhar Opir untuk menghadap Baginda di Istana Bukit Kayangan bagi menyatakan pendirian tegas Baginda berhubung dengan penganjuran “Glamping with Pride”.
Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.
“Di samping itu juga, Baginda tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan NGO yang berkaitan dengan LGBT di Negeri Selangor.
“Selaras dengan titah Sultan Selangor, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Negeri Selangor.
“MAIS dan Mufti Selangor menegaskan bahawa agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai oleh Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth A.S atas perbuatan tersebut. Ini adalah berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 84 yang bermaksud: “Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan”.
“Perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. yang turut diamalkan oleh kumpulan LGBT ini adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan perbuatan tersebut lebih hina berbanding dengan kesalahan zina.
“Bahkan mereka yang mengamalkan perbuatan ini bakal mendapat laknat daripada Allah SWT berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللهُ مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمٍ لُوْطِ ، لَعَنَ الله مَنْ عَمِلَ عَمَلَ قَوْمٍ لُوْطِ ، ثَلاثًا
Maksudnya: “Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda mengulanginya) sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ahmad)
Menurut kenyataan bersama MAIS dan Mufti Selangor itu lagi, sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT ini adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl).
Selain itu katanya, sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada akidah umat Islam. Ini kerana mereka menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh agama Islam.
“Mereka juga percaya bahawa manusia bebas menentukan identiti jantina sedangkan ia bertentangan dengan fitrah yang ditetapkan di luar ketetapan fitrah Allah SWT.
“MAIS juga menegaskan bahawa umat Islam, khususnya golongan remaja, tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan dan budaya hidup barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.
“MAIS menegaskan bahawa tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ianya jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam.
“Berikutan dengan pendirian tegas Sultan Selangor berkaitan dengan isu ini, MAIS dan Mufti Selangor menggesa agar PDRM dan PBT menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut serta program seumpamanya di Negeri Selangor.
“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.



