MELAKA, — Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Salleh, dijangka akan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka bagi menyahut cabaran DAP supaya beliau memulakan langkah meninggalkan Kerajaan Madani.
Menurut sumber, Akmal dijangka mengumumkan peletakan jawatan tersebut dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia minggu ini.
Jika menjadi kenyataan, peletakan jawatan ini mungkin menjadi satu langkah yang berpotensi menggegarkan landskap dalaman UMNO serta hubungan parti itu dengan Kerajaan Madani.
Menurut sumber Pemuda UMNO, perkembangan itu berpunca secara langsung daripada pendirian konsisten Dr Akmal yang menyarankan UMNO meninggalkan Kerajaan Madani, sekali gus menjadikan kedudukan beliau sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri semakin sukar dipertahankan dari sudut konsistensi politik dan prinsip.
Ketika ini, Dr Akmal memegang portfolio Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka yang turut bekerjasama dengan DAP sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani di peringkat negeri.
Bagaimanapun, Akmal tidak dijangka melepaskan jawatan politik lain yang tidak melibatkan Kerajaan Madani.
Dr Akmal dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia serta Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau bagi membolehkan beliau terus memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju sayap parti itu.
Sebelum ini, Dr Akmal turut mencetuskan ketegangan dalam Kerajaan Madani apabila mendesak UMNO meninggalkan kerajaan dan memilih untuk menjadi pembangkang.
Kenyataan tersebut mengukuhkan lagi persepsi bahawa pendirian beliau terhadap kerajaan sedia ada bukan bersifat taktikal semata-mata, sebaliknya berlandaskan garis politik yang tegas.
Pemerhati politik berpandangan, sekiranya spekulasi ini menjadi kenyataan, ia bakal menjadi isyarat paling jelas bahawa saranan Pemuda UMNO supaya meninggalkan Kerajaan Madani disertai kesediaan menanggung implikasi politik secara langsung, bukan sekadar retorik.
Petang tadi, Akmal memuat naik gambar pertemuannya dengan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, di media sosial dengan kapsyen bahawa hasrat dan isi hatinya telah beliau luahkan kepada Ketua Menteri, selain merakamkan penghargaan atas peluang berkhidmat bersama serta peranan tokoh tersebut dalam membentuk perjalanan politik dan kepimpinannya sejak di peringkat mahasiswa.
Tumpuan kini terarah kepada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia minggu ini yang dijangka menjadi pentas penting dalam menentukan arah politik sayap parti itu serta kesannya terhadap kedudukan UMNO dalam Kerajaan Madani.



