2025 catat pelbagai pencapaian penting, reformasi institusi terus diperkukuh – Azalina

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Tahun 2025 merupakan tahun yang amat signifikan bagi agenda Undang-Undang dan Reformasi Institusi negara. Ia bukan sekadar tahun perancangan dasar, tetapi tahun keberanian membuat keputusan, ketegasan mempertahankan prinsip, dan kesungguhan melaksanakan reformasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi – UURI) , Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Sepanjang 2025, kita telah mencatat pelbagai pencapaian penting. Reformasi institusi terus diperkukuh, Parlimen diperkasa, akses kepada keadilan diperluas, perlindungan terhadap kanak-kanak dan golongan rentan dipertingkat, serta tadbir urus negara diperkemas selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Ini dapat direalisasikan melalui RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, RUU Antibuli 2025, RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025, RUU Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 dan banyak lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Laman Hijau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah BHEUU JPM, Datuk Zamri Misman; Ketua Pengarah, Akademi Perundangan Negara, Rushan Lutfi Mohamed; Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Dato’ Norazmi Mohd Narawi; dan Ketua Pendaftar Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Zamri Hj. Bakar.

Azalina berkata salah satu detik paling bersejarah ialah kejayaan mutlak Malaysia mempertahankan kedaulatan negara dalam kes tuntutan Sulu, apabila ‘Final Award’ yang tidak sah telah dibatalkan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan di Paris.

Menurutnya kejayaan ini membuktikan bahawa kedaulatan undang-undang, kecekalan institusi dan strategi perundangan yang mantap mampu mempertahankan maruah serta kedaulatan Malaysia di pentas antarabangsa.

“Pencapaian ini bukan sahaja kemenangan di mahkamah, tetapi kemenangan institusi, sistem dan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan negara mempertahankan haknya melalui undang-undang. Semua kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa komitmen tinggi, profesionalisme dan integriti warga BHEUU, jabatan dan agensi.

“Kakitangan di BHEUU bukan sekadar penjawat awam, tetapi barisan hadapan yang mempertahankan keadilan, kedaulatan dan kepentingan negara, ”katanya.

“Cabaran yang menanti menjadi semakin kompleks. Landskap perundangan terus berubah, teknologi dan kecerdasan buatan berkembang pantas, dan rakyat menuntut sistem yang lebih cekap, telus serta berperikemanusiaan.

“Justeru, tahun 2026 mesti menjadi tahun pemantapan, pelaksanaan dan penyampaian. Reformasi yang telah dimulakan perlu diperkukuh, diperhalusi dan diterjemahkan secara nyata dalam kehidupan rakyat, ”katanya lagi.

“Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Perhimpunan Bulanan JPM, Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan reformasi institusi utama pada tahun ini, termasuk pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun.

“Selain itu, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta pengenalan Akta Kebebasan Maklumat dan pengukuhan institusi Ombudsman Malaysia bagi memastikan tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan berteraskan kedaulatan undang-undang,”ujarnya.

“Tahniah diucapkan kepada BHEUU, JPM atas amanah dan cabaran baharu ini, dan kita yakin mampu menyempurnakan agenda reformasi yang telah digariskan.

“Justeru itu, saya menyeru seluruh warga BHEUU, jabatan dan agensi agar terus bekerja sebagai satu pasukan, berfikir secara strategik, berani melakukan penambahbaikan, dan kekal teguh menjunjung kedaulatanundang-undang serta nilai MADANI, ”ujarnya lagi.

“Dengan iltizam bersama, saya yakin kita mampu menjadikan 2026 sebagai tahun reformasi yang lebih matang, lebih diyakini dan lebih bermakna, demi keadilan, kesejahteraan dan masa depan Malaysia, ”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat