CYBERJAYA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat dan akar umbi parti ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Akmal berkata suara orang awam telah didengari dalam konvensyen sebelum ini dan usaha itu akan diteruskan melalui saluran parti, termasuk di peringkat cawangan dan bahagian.
“Kita dah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam. Insya-Allah kita teruskan bersuara di Perhimpunan Agung UMNO pula minggu depan membawa suara akar umbi parti,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan bukan dibina atas dasar jawatan dan pangkat, sebaliknya wujud kerana sokongan rakyat.
“Bukan kerana jawatan dan pangkat kita menjadi pemimpin, tetapi kerana rakyat di bawah. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita hari ini,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Dr Akmal turut memberi bayangan bahawa beliau akan mengumumkan kedudukan serta hala tuju dirinya dalam parti dan kerajaan pada PAU minggu hadapan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi politik.
Kenyataan itu turut disertakan dengan seruan agar ahli parti dan rakyat tidak takut untuk bersuara tentang perkara yang benar, demi penyatuan agama dan bangsa.



