Anwar perkenal panda Chen Xing, Xiao Yue, simbol persahabatan Malaysia–China

KUALA LUMPUR, – Pasangan giant panda baharu dari Republik Rakyat China kini menjadi tarikan utama di Zoo Negara apabila diperkenalkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lambang pengukuhan hubungan diplomatik dan kerjasama konservasi antara kedua-dua negara.

Chen Xing, yang bermaksud “bintang yang bersinar”, dan Xiao Yue, membawa maksud “bulan yang terang”, merupakan utusan khas dari Republik Rakyat China yang mencerminkan hubungan persahabatan dan kepercayaan antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang diplomasi alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar.

Pasangan giant panda berkenaan tiba di Malaysia pada 18 November 2025 dan telah menjalani tempoh kuarantin di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.

Sepanjang tempoh tersebut, kedua-duanya menunjukkan tingkah laku normal serta aktif, menandakan tahap penyesuaian yang baik. Susulan persetujuan bersama pihak China, PKGP kini dibuka semula kepada pengunjung.

Malaysia dan Republik Rakyat China sebelum ini memeterai perjanjian kerjasama pada 16 April 2025 bersempena lawatan negara Presiden Republik Rakyat China, sebagai langkah memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara. Menerusi kerjasama antara PERHILITAN dan China Wildlife Conservation Association (CWCA), Malaysia menerima sepasang giant panda baharu bagi tempoh 10 tahun bermula 2025 hingga 2035, selari dengan inisiatif konservasi antarabangsa China yang melibatkan lebih 20 negara.

Komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan giant panda serta keselesaan pengunjung dizahirkan melalui penambahbaikan fasiliti PKGP menggunakan peruntukan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), termasuk menaik taraf eksibit utama, reka bentuk dalaman serta landskap kawasan konservasi.

Selaras dengan prinsip kemampanan di bawah kerangka Malaysia MADANI, kerajaan melalui NRES terus komited memperkukuh usaha pemuliharaan spesies terancam menerusi pendekatan diplomasi antarabangsa.

Dalam usaha menyemai kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda, Zoo Negara turut menawarkan potongan harga tiket sebanyak 50 peratus khusus untuk kanak-kanak sepanjang tempoh dua minggu bermula hari ini serta bersempena setiap musim perayaan utama.

Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban pengunjung, malah memberi peluang kepada golongan muda mendekati dan memahami kepentingan pemuliharaan hidupan liar secara langsung, selain menyokong sasaran kerajaan menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh serta Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat