KINABATANGAN, — Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan seramai tiga calon layak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan, manakala dua calon pula disahkan bertanding bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah.
Menurut kenyataan media SPR hari ini, urusan penamaan calon bagi kedua-dua PRK tersebut telah berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan, calon yang bertanding ialah Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Goldam H Salangah sebagai calon Bebas dan Datuk Saddi bin Abdu Rahman dari Parti Warisan Sabah (Warisan).
Sementara itu, PRK DUN N.58 Lamag menyaksikan pertembungan dua calon iaitu Miha dari Barisan Nasional (BN) dan Mazliwati Abdul Malek mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan).
SPR memaklumkan tempoh berkempen akan bermula sebaik pengisytiharan calon yang bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus dan berakhir pada jam 11.59 malam, 23 Januari 2026 (Jumaat).
Bagi memastikan kelancaran dan pematuhan undang-undang sepanjang tempoh kempen, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen calon-calon yang bertanding.
Selain itu, seramai 39 orang pemerhati pilihan raya daripada sembilan organisasi turut mengambil bahagian untuk memantau perjalanan PRK Parlimen Kinabatangan dan PRK DUN Lamag bagi memastikan ketelusan proses pilihan raya.
SPR turut mengingatkan semua calon bahawa sebarang bahan kempen yang dipamerkan atau diedarkan perlu mematuhi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan, selain mengandungi nama dan alamat pencetak serta penerbit, kecuali bagi bendera dan poster simbol parti atau gambar calon.
Dalam kenyataan sama, SPR menegaskan bahawa bahan kempen yang mengandungi unsur perkauman, hasutan, sentimen kebencian atau menyentuh sensitiviti keagamaan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
SPR berharap semua aktiviti kempen dapat dijalankan dalam suasana aman, harmoni dan berlandaskan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan bin Datuk Harun, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk pihak keselamatan, jabatan kerajaan serta petugas media atas kelancaran proses penamaan calon hari ini.



