CYBERJAYA – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengusulkan agar wakil-wakil rakyat tinggal dan menetap berhampiran kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat bagi merasai sendiri pengalaman sebenar yang telah lama ditanggung oleh penduduk setempat.
Cadangan itu dizahirkan susulan kebimbangan Baginda terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada tahun 2030.
Menurut Baginda, isu pencemaran bau, gangguan lalat serta pencemaran air akibat aktiviti penternakan babi di kawasan tersebut bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sejak lebih sedekad lalu tanpa penyelesaian tuntas.
Baginda menegaskan bahawa penduduk sekitar telah lama menanggung kesan negatif yang menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan awam, justeru pembuat dasar perlu memahami realiti sebenar sebelum membuat sebarang keputusan melibatkan projek berskala besar.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor turut memaklumkan bahawa Baginda sendiri merasai kesan pencemaran tersebut kerana kediaman Baginda, Istana Pantai Bahagia, turut terletak di kawasan Kuala Langat.
Baginda menyatakan kebimbangan bahawa cadangan menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara penternakan babi berisiko memburukkan lagi masalah yang telah lama membelenggu penduduk setempat.
Sehubungan itu, Sultan Selangor mengingatkan bahawa sebarang pembangunan ekonomi tidak boleh mengorbankan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Baginda turut menegaskan supaya Kerajaan Negeri sentiasa bertindak secara amanah, telus dan bertanggungjawab serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.



