KUALA LUMPUR – Ketua Umno Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengingatkan Ramkarpal bahawa kedaulatan undang-undang mesti dihormati pada setiap masa, bukan hanya apabila ia selari dengan kepentingan politik seseorang.
“Kepada YB Ramkarpal Singh, anda secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memberikan NFA dalam kes melibatkan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Apa yang menghairankan dan membimbangkan ialah cara pihak anda mentafsir kedaulatan undang-undang secara terpilih.
“Jika anda benar-benar percaya kepada kedaulatan undang-undang, ia mesti diterapkan secara konsisten bukan hanya apabila ia menguntungkan pihak anda.
“Mengapa tiada kecaman lantang daripada anda apabila kes rogol melibatkan salah seorang wakil rakyat parti anda timbul?
“Mengapa pula berdiam diri mengenai skandal terowong Pulau Pinang yang melibatkan salah seorang pemimpin kanan anda? soal Armand sebagai kenyataan balas terhadap Ramkarpal.
Tegas beliau, ini semua melibatkan tuduhan yang serius, namun kemarahan moral anda nampaknya sangat terpilih.
“YB Ramkarpal, apabila anda bercakap tentang kedaulatan undang-undang, tanyalah diri sendiri – adakah ia satu prinsip, atau sekadar senjata politik yang digunakan hanya apabila sesuai?
“Maka saya menasihatkan anda supaya kembali menghormati apa yang selalu anda laungkan ‘hormati keputusan mahkamah. Itulah kedaulatan undang-undang.’
“Prinsip ini mesti terpakai kepada semua pihak, bukan hanya apabila ia menyebelahi naratif politik anda.”
“Amalkan apa yang anda khutbahkan. Hormati keputusan mahkamah itulah kedaulatan undang-undang,” bidas Armand.
Terdahulu Ramkarpal berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) harus menjelaskan keputusannya tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 tuduhan jenayah yang sebelum ini dihadapi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Biro Undang-undang DAP Ramkarpal Singh dalam kenyataan yang juga bekas timbalan menteri undang-undang berkata, langkah AGC mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA tidak menyuntik keyakinan awam selain menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan siasatan serta proses membuat keputusan.
Menurutnya, walaupun AGC menyandarkan keputusan tersebut kepada semakan komprehensif terhadap keterangan sedia ada, agensi itu gagal menjelaskan sama ada ia telah menilai semula dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada 2023.
“Dengan segala hormatnya, ini bukan suatu kes di mana tiada sebarang penemuan dibuat,” katanya sambil menekankan, sudah diketahui umum Mahkamah Tinggi mendapati wujud kes prima facie terhadap presiden Umno itu pada akhir kes pendakwaan.
Dapatan prima facie tersebut bermakna Ahli Parlimen Bagan Datuk itu secara sah dikehendaki membela diri.



