NFA kukuhkan kedudukan Zahid sebagai TPM, Presiden Umno, tak perlukan Najib lagi – A Kadir

KUALA LUMPUR – Dengan pembebasan (no further action/tiada tindakan lanjut) daripada 47 kes yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) didakwa kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno semakin kuat sehingga membuatkan beliau tidak perlukan Datuk Seri Najib Razak lagi.

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata, keputusan NFA ini boleh mengukuhkan sokongan terhadap Zahid dan menghapuskan saki baki sokongan terhadap Najib.

Menurut A Kadir, antara Zahid dan Najib, Anwar tentu lebih takut kepada Najib dan selesa dengan Zahid.

“Natijahnya, kalau Anwar Ibrahim yang dua kali masuk penjara kerana salah guna kuasa dan liwat boleh diampunkan dan naik jadi Perdana Menteri, dan Zahid daripada 47 kes prima facie jadi Timbalan Perdana Menteri, dapat DNAA dan kini NFA, mana-mana pun penjenayah ada harapan jadi Perdana Menteri.

“Syaratnya orang itu ada duit, ada pengaruh politik dan ada sokongan dari kayangan. Satu-satunya banduan dalam kategori itu sekarang adalah bekas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.

“Akan tetapi, tindakan NFA (no further action/tiada tindakan lanjut) ke atas Zahid semalam (8 Januari) boleh menumpulkan harapan Najib mendapat kelonggaran hukuman apatah lagi pembebasan dan pengampunan.

“Dengan pembebasan NFA yang diberikan oleh Peguam Negara itu, kedudukan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno semakin kuat. Beliau tidak perlukan Mohd Najib lagi.

“Begitu juga dengan Anwar. Kedudukannya juga bertambah kuat. Pada 6 Januari, tiga hari sebelum NFA, Zahid telah berikrar yang Barisan Nasional (BN) akan kekal dengan Kerajaan Madani sehingga habis penggal.

“Zahid terpaksa buat janji itu kerana Konvensyen Pemuda Umno 3 Januari ada membayangkan supaya Umno keluar Kerajaan Madani dan jadi pembangkang,” kata beliau.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times itu menambah, walaupun ada pendapat mengatakan Anwar tidak akan jatuh kalau Umno keluar, namun kehadiran parti Melayu itu sangat penting demi memberi keabsahan kepada pemerintahan beliau dengan membawa masuk sokongan orang Melayu.

“Lagipun, mengukuhkan persepakatan dengan Zahid melalui penganugerahan NFA adalah strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

“Ditakdirkan Najib keluar penjara dan dapat pengampunan, beliau berkemungkinan diterima balik sebagai Presiden Umno – macam Anwar dengan PKR – dan naik jadi Perdana Menteri semula.

“Kalau Anwar yang dua kali masuk penjara atas kesalahan jenayah boleh naik jadi Perdana Menteri, mengapa tidak Najib? Tetapi harapan Najib mengulangi keajaiban Anwar itu tidak wujud lagi dengan keputusan kes 1MDB dan Perintah Adendum baru-baru ini.

“Pembebasan dan pengampunan, macam yang baru berlaku ke atas Zahid, dan sebelum itu ke atas Anwar sendiri, boleh dirangka melalui Pejabat Peguam Negara.

“Mungkin sebab itulah, pemberian NFA kepada Zahid dilakukan di ambang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memisahkan fungsi Pendakwa Raya daripada Peguam Negara bulan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, sekarang Perdana Menteri hanya perlu berurusan dengan seorang, iaitu Peguam Negara. Lepas ini dengan dua orang – Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Anugerah NFA yang membebaskan Zahid daripada 47 kes prima facie ini dibuat ketika Anwar mendakwa beliau memerangi rasuah tanpa memilih bulu dan beberapa kes berprofil tinggi sedang disiasat, didakwa dan dibicarakan.

“Kesimpulannya, baik atau buruk anugerah NFA kepada Zahid ini terpulanglah kepada tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari sekalian menilainya.

“Seperti ditekankan oleh Machiavelli dalam bukunya, The Prince, moraliti agama dan etika (scruples) tidak ada tempat dalam percaturan politik. Yang utama adalah kuasa dan pengekalan diri (self-preservation),” bidas beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat