KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mendakwa Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidaklah memiliki kuasa ‘jentikan batin’ seperti didakwa seorang ilmuwan seni bina Islam dan pengulas veteran isu pendidikan, politik Islam serta bina bangsa Prof Tajuddin Rasdi.
Sedangkan kata Puad, hanya Muhyiddin yang tahu hanya tiga ahli Parlimen sahaja menyokong beliau.
“Lain macam betul apabilla profesor seni bina Islam Prof Dr Tajuddin Rasdi menganalisis politik. Menurutnya Muhyiddin “perwira politik” yang memiliki kuasa ‘jentikan batin’.
“Katanya lagi, sekali Muhyiddin jentik, (Tan Sri Abdul) Hadi (Awang) dan juga (Datuk Seri) Hamzah Zainudin tunggang terbalik. Sedangkan Muhyiddin yang menggelupur sampai letak jawatan. Ini kerana Prof Tajuddin tidak tahu apa yang berlaku di dalam PN dan parti Bersatu.
“Hanya Muhyiddin yang tahu tiga MP sahaja yang sokong dia. MP Bersatu yang lain semuanya ikut Hamzah. Pengerusi negeri yang letak jawatan seperti Azmin Ali, Dr Shaharudin dan Peja bukan ahli Parlimen,” bidas Speaker DUN Johor itu.
Justeru katanya, Muhyiddin tahu dia sudah dipenghujung.
“Ia tidak boleh tahan. Muhyiddin cuba bertahan apabila 15 MP Umno tarik sokongan. Akhirnya dia letak jawatan Perdana Menteri ke 8. Maka mana dia perwira politiknya? Mana dia jentikan ala ghaibnya?
“Muhyiddin adalah ahli politik keras kepala. Sebab itu dia sanggup isytihar darurat masa PKP. Dia mengengkari nasihat Yang di-Pertuan Agong sertai Kerajaan Perpaduan. Dia hanya perwira pakar memanipulasi keadaan.
“Walaupun pandai ambil kesempatan tapi Muhyiddin pemimpin yang lemah dari segi “grassroots.” Sebab itu dia tidak mampu bertahan lama. Ini yang berlaku dalam parti Bersatu. Hamzah menguasai akar umbi parti. Akhirnya Muhyiddin menggelupur tinggalkan PN,” katanya.
Menurut Puad lagi, Muhyiddin adalah perosak PN.
“Apa yang berlaku di Perlis jadi bukti. Dia yang bunuh PN. Umno tidak terkena sedikit pun tempiasnya. Ia bagus untuk Umno. Memang Umno mahu PN mati.
“Umno yakin Pas pun tidak berminat untuk mengetuai PN. Parti itu “total loss” di PRN Sabah. Buat apa buang masa untuk memimpin PN. PAS tahu Bersatu akan “tutup kedai”.
“Hamzah sedang merancang jajaran baru. Bermakna PN juga akan tutup kedai. Itu yang Prof seni bina Islam tidak tahu,” ujar Adun Rengit itu.
Sebelum itu, Prof Dr Tajuddin Rasdi dalam laporan media berkata, Muhyiddin hanya jentik dari beribu-ribu kilometer jauhnya tetapi kesan kepada musuh dan lawan dalam selimut adalah lebih daripada ledakan Gunung Pinatubo di Filipina.
“Satu dunia habuk gunung berapi itu bertebaran. Sama juga dengan Pas, PN dan Bersatu serta juga Umno yang akan kena tempias jentikan ‘ala batin’ perwira politik sebenar, Muhyiddin Yassin,” katanya.



