Peeja beri isyarat Bersatu terluka dan terbuka

KUALA LUMPUR, — Tindakan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peeja) menukar gambar profil media sosialnya daripada imej berbaju Perikatan Nasional (PN) kepada berbaju Bersatu sahaja pada hari pertama tahun baharu dilihat sebagai isyarat simbolik bahawa hubungan dalam gabungan itu masih berdepan ketegangan yang belum selesai.

Langkah tersebut berlaku dalam suasana politik PN yang terus bergolak susulan krisis politik Perlis, yang menyaksikan konflik terbuka antara PAS dan kepimpinan pusat PN.

Krisis itu turut mencetuskan serangan politik PAS terhadap Pengerusi PN ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehingga membawa kepada keputusan beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Dalam tempoh antara 28 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026, beberapa Pengerusi PN di peringkat negeri turut mengumumkan peletakan jawatan masing-masing, mencerminkan gelombang tekanan dalaman yang melanda struktur kepimpinan gabungan tersebut. Antara yang melepaskan jawatan ialah Ahmad Faizal Azumu sendiri sebagai Pengerusi PN Perak, Mohamad Hanifah Abu Baker sebagai Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor, serta Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sebagai Pengerusi PN Sarawak. Kesemua peletakan jawatan itu diumumkan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Perkembangan ini mengukuhkan persepsi bahawa PN sedang berdepan krisis keyakinan yang serius, bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga dalam kepimpinan negeri-negeri, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan dan hala tuju gabungan berkenaan.

Dalam kenyataan sempena tahun baharu yang dibuat dalam tempoh sama, Muhyiddin menegaskan bahawa keputusan beliau berundur sebagai Pengerusi PN adalah langkah strategik dan terancang, bukan tindakan impulsif atau tanda meninggalkan gabungan tersebut.

Beliau menyatakan komitmen untuk terus setia bersama PN serta melihat keperluan menilai landskap politik secara lebih luas, termasuk membuka ruang kepada kerjasama dengan rakan strategik lain demi memastikan kelangsungan dan kekuatan politik gabungan itu.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan turut ditafsirkan oleh pemerhati politik sebagai petunjuk bahawa PN masih berada dalam fasa peralihan yang rapuh.

Isyarat simbolik seperti penegasan identiti parti oleh pimpinan Bersatu, gelombang peletakan jawatan Pengerusi PN negeri, serta naratif “langkah strategik” yang dibawa Muhyiddin terus mencetuskan spekulasi bahawa perpecahan dalaman PN belum benar-benar reda dan berpotensi berlarutan dalam tempoh terdekat.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat