Dr Maza adalah suara yang diperlukan, sentiasa konsisten dengan pandangan – Datuk Dr Fathul Bari

KANGAR — Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, menegaskan bahawa Sahibus Samahah Mufti Negeri Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, merupakan suara yang sangat diperlukan dalam landskap agama dan politik negara kerana konsistensi beliau berpegang kepada prinsip, walaupun berdepan tekanan dan kecaman.

Dalam satu tulisan reflektif yang dikongsikan hari ini, Fathul Bari mengimbas kembali hubungan intelektualnya dengan Dr Maza yang telah terjalin sejak lebih sedekad lalu, termasuk pertemuan mereka dalam satu wacana terbuka di Kelantan pada tahun 2012 yang menyaksikan kedua-duanya saling mengkritik secara terbuka dan berfakta.

Menurut beliau, hubungan tersebut tidak pernah dibina atas kesamaan politik, sebaliknya lahir daripada pertembungan idea, perbezaan pandangan serta keberanian untuk menegur secara beradab demi mencari kebenaran.

Fathul Bari menegaskan bahawa Dr Maza bukan tokoh yang mengkritik berdasarkan kepentingan parti atau kuasa, sebaliknya berpegang kepada prinsip yang konsisten walaupun pandangannya tidak popular dan sering mengundang serangan.

Beliau berkata, kritikan yang dilemparkan terhadap Dr Maza kebelakangan ini bukan kerana tokoh itu menyerang mana-mana pihak, tetapi kerana beliau meminta penjelasan terhadap dakwaan umum yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti banyak pihak sekiranya dibiarkan tanpa fakta yang jelas.

“Apabila pandangan beliau selari, beliau dipuji dan diangkat. Apabila berbeza, beliau dihina dan dipertikai. Di sinilah ketidakadilan berlaku,” menurut Fathul Bari dalam tulisannya.

Mengulas serangan terhadap Dr Maza yang didakwa berpunca daripada perbezaan pandangan dengan kepimpinan PAS Pusat, Fathul Bari menyifatkannya sebagai cerminan budaya politik yang semakin sempit dan gagal membezakan antara perbezaan pendapat dengan permusuhan.

Beliau turut menekankan kepentingan membudayakan munasohah, iaitu saling menasihati dengan adab dan kejujuran, tanpa mencemuh atau menutup ruang perbezaan pandangan.

Menyentuh soal kemungkinan penglibatan Dr Maza dalam politik, Fathul Bari mengakui wujud keinginan peribadi untuk melihat tokoh agama itu suatu hari nanti mencuba medan politik, namun bukan atas dasar jawatan atau kuasa.

Bagaimanapun, beliau menghormati peranan Dr Maza ketika ini sebagai agamawan yang bebas, kritis dan tidak terikat dengan politik kepartian, sambil menegaskan bahawa tidak semua insan berprinsip perlu berada dalam sistem politik untuk memberi sumbangan bermakna.

Menurut Fathul Bari, yang lebih penting ialah keberanian mempertahankan prinsip dan menyuarakan kebenaran, sama ada di dalam atau di luar sistem, kerana suara seperti Dr Maza tetap diperlukan dalam apa jua keadaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat