KUALA LUMPUR – Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, pelantikan dibuat selaras keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November lalu dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 1 Disember.
Azhan dilantik menggantikan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang diarahkan bercuti sebelum ini.
Selain itu, Khaled memberitahu pelaksanaan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan Muhammad Hafizuddeain sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.
“Beliau (Hafizuddeain) diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang dilaporkan melibatkan beliau,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Sementara itu Khaled juga berkata, tugas Panglima Angkatan Tentera yang kini kosong susulan persaraan Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar namun akan dipangku Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain seperti diumumkan pada 27 Disember lalu.
Menurut Khaled lagi, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tegas dalam memelihara integriti ATM dan memastikan tugas mempertahankan kedaulatan negara dilaksanakan dengan berkesan.
Terdahulu media melaporkan, Hafizuddeain akan bercuti berkuat kuasa serta-merta.
Khaled sebelum ini berkata, langkah itu diambil bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan Panglima Tentera Darat.



