Mas Ermieyati tak akan letak jawatan Pengerusi PN Melaka, tiada konflik dengan Pas

KUALA LUMPUR – Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak tunduk desakan supaya beliau melepaskan jawatan sebaai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka dan jawatan Ketua Wanita PN Pusat.

“Saya mengambil maklum desakan segelintir pihak yang menggesa dan menanti-nanti saya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka dan jawatan Ketua Wanita PN Pusat susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional seperti yang dimaklumi.

“Namun demikian, ingin saya tegaskan bahawa keputusan untuk tidak meletakkan jawatan ini bukanlah didorong oleh sebarang kepentingan peribadi, apatah lagi kerana ingin mempertahankan jawatan atau kuasa.

“Sebaliknya, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan Perikatan Nasional di peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mas Ermieyati menjelaskan bebarapa faktor di sebalik keputusannya itu, pertama, hubungan antara kepimpinan PN Negeri Melaka khususnya bersama Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka, Zulkifli Ismail serta seluruh komponen parti berada dalam keadaan yang baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di Negeri Perlis. Tiada sebarang konflik dalaman yang menuntut peletakan jawatan saya secara tergesa-gesa.

“Kedua, PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh 4 hingga 6 bulan akan datang.

“Kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan. Sebarang perubahan mendadak hanya berisiko melemahkan momentum yang sedang dibina bersama,” ujarnya.

Selain itu kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menegaskan, dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat adalah kurang tepat.

Jelas beliau, pelantikan semua jawatan dalam Perikatan Nasional sama ada di peringkat pusat atau negeri (tanpa menghilangkan langsung penghargaan tertinggi saya terhadap jasa Tan Sri Muhyidin yang memberikan kepercayaan kepadanya) adalah berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN melalui mesyuarat, walaupun pencalonan dibuat oleh parti komponen berdasarkan kesesuaian dan konteks setempat.

“Saya juga turut sependapat dengan Timbalan Pengerusi PN Kelantan dan Terengganu Dato Kamarudin dan Dato Razali) yang terlebih dahulu menyatakan dalam kenyataan masing-masing bahawa hubungan Bersatu dan Pas di negeri tersebut dalam keadaan baik dan harmoni serba tidak terjejas dengan isu yang berlaku.

“Hubungan yang harmoni tersebut sama dengan keadaan negeri Melaka. Jadi kenapa hanya kepengerusian PN negeri Melaka sahaja menjadi tumpuan dan modal tohmahan manakala kepengerusian negeri lain termasuk negeri bawah PN (Kelantan, Terengganu, Kedah) yang masih dipegang oleh Pas dan Pengerusi Perhubungan Bersatu negeri mengisi jawatan Timbalan Pengerusi PN tidak pula ditimbulkan atau dipersoalkan.

“Sehubungan itu, saya juga ingin menasihatkan agar kita semua dapat menghentikan sebarang polemik terbuka di media sosial yang melibatkan hubungan antara Bersatu dan Pas, khususnya berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Perlis. Polemik sebegini tidak membawa manfaat kepada parti mahupun gabungan, malah hanya mengundang kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Saya percaya rakyat sedang memerhati pertelingkahan terbuka yang seolah-olah tidak berkesudahan antara 2 parti utama PN yang pasti akan menghilangkan rasa hormat dan harapan mereka untuk bersama PN sebagai pilihan kepada Kerajaan Madani yang sememangnya telah menghampakan mereka.

“Tidakkah kita semua nampak bahawa polemik dalaman PN ini telah menjejaskan pengharapan rakyat terhadap kita,” katanya.

Beliau malah percaya sepenuhnya bahawa segala keputusan penting wajar diserahkan kepada kebijaksanaan Mesyuarat Tertinggi Perikatan Nasional yang akan diadakan dalam masa terdekat termasuk soal pelantikan Pengerusi baharu, hala tuju kepimpinan serta penstrukturan semula di semua peringkat.

“Saya sendiri bersedia untuk melepaskan kedua-dua jawatan ( Pengerusi PN Negeri Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat) sekiranya itu merupakan keputusan bersama yang dibuat secara matang dan berlandaskan kepentingan parti dan gabungan, bukannya dibuat atas tekanan emosi atau sentimen sementara.

“Hubungan antara Pas dan Bersatu yang terjalin sejak penubuhan Bersatu hampir lima tahun lalu adalah hubungan adik-beradik dalam perjuangan. Seperti mana-mana hubungan, pasti ada pasang surut dan perbezaan pandangan.

“Namun saya percaya, dengan kebijaksanaan kepimpinan baharu dan keikhlasan semua pihak, segala perselisihan ini mampu dipulihkan demi masa depan Perikatan Nasional yang lebih kukuh dan diyakini rakyat,” kata Mas Ermieyati lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat