Pihak tertentu dalam PAS punca krisis politik di Perlis – Ketua Dewan Ulama PAS Perlis

KANGAR — Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, menyifatkan krisis politik yang melanda Perlis berpunca daripada kegagalan pihak tertentu dalam PAS sendiri melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, khususnya dalam menguruskan rundingan dengan pihak Istana.

Menurut beliau, kemelut tersebut bukan berpunca daripada unsur pengkhianatan atau campur tangan rakan gabungan, sebaliknya tercetus akibat kegagalan berperanan secara berhemah selepas Raja Perlis memaklumkan hasrat menukar Menteri Besar atas alasan salah laku terhadap baginda. Keadaan itu, katanya, akhirnya menyebabkan Raja Perlis terpaksa menggunakan budi bicara sepenuhnya.

Ahmad Adnan turut menegaskan bahawa meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas BERSATU adalah tidak adil, malah berisiko mencetuskan desakan tidak perlu termasuk tuntutan peletakan jawatan yang sebenarnya boleh dielakkan. Beliau menegaskan bahawa BERSATU tidak terlibat secara langsung dalam krisis berkenaan.

Mengulas dakwaan pengkhianatan, beliau menolak tanggapan tersebut dan menyatakan tiada unsur pengkhianatan melibatkan kepimpinan PAS Perlis, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang dihentikan keahlian. Dalam konteks itu, beliau mengingatkan agar polemik berkenaan dinilai secara adil dan berfakta.

Beliau turut mendedahkan bahawa Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani bukan dibuat di luar sebelum dibawa menghadap Raja Perlis, sebaliknya ditandatangani di hadapan baginda sendiri. Katanya, perkara itu tidak akan berlaku sekiranya pihak yang diamanahkan memainkan peranan dengan sebaiknya sejak awal.

Ahmad Adnan juga memaklumkan bahawa pada saat-saat akhir sebelum pengisytiharan Menteri Besar baharu daripada BERSATU, Raja Perlis masih membuka ruang agar jawatan tersebut diisi oleh wakil PAS. Namun, katanya, ADUN-ADUN PAS gagal mengambil peranan sewajarnya apabila pilihan tersebut dikemukakan oleh baginda.

Dalam penilaian lebih luas, beliau mengakui PAS masih belum mampu memenangi pilihan raya dengan kekuatan sendiri sepenuhnya. Walaupun PAS kuat dari segi jentera dan akar umbi, katanya, parti itu masih memerlukan gabungan politik bagi menampung kekurangan dari sudut keyakinan sebahagian rakyat dan kemesraan politik. Atas sebab itu, beliau berpandangan Perikatan Nasional wajar dikekalkan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana pihak meletakkan jawatan.

Sebaliknya, semua pihak disaran mengambil semula amanah yang ada, menilai kesilapan yang berlaku dan melakukan pembetulan secara matang serta bertanggungjawab.

Beliau turut berpandangan Kerajaan Perlis wajar terus ditadbir oleh Perikatan Nasional seperti sebelumnya, dengan barisan EXCO daripada gabungan PAS dan BERSATU, dan perubahan hanya melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja. Dalam keadaan semasa, katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) juga wajar dielakkan kerana PN berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan.

Mengakhiri kenyataannya, Ahmad Adnan menggesa semua pihak menilai krisis tersebut dengan hati terbuka, serta menyampaikan pandangan secara beradab dan berlandaskan semangat ukhuwah serta kasih sayang sesama umat. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat