KUCHING — Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026 susulan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Jaziri berkata beliau mengambil maklum keputusan berkenaan dan menghormati prinsip bahawa jawatan yang disandangnya adalah lantikan oleh Pengerusi Perikatan Nasional.
“Sehubungan itu, sebagai menghormati jawatan saya yang dilantik oleh Yang Berhormat Tan Sri Pengerusi Perikatan Nasional, saya dengan ini memaklumkan peletakan jawatan saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan Perikatan Nasional Sarawak atas sokongan serta kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
Jaziri menegaskan penghargaan itu merangkumi semua pihak yang telah bersama-sama menggerakkan dan memperkukuh Perikatan Nasional Sarawak sejak penubuhannya di peringkat negeri.
Kenyataan tersebut dikeluarkan pada 30 Disember 2025 dan menandakan berakhirnya peranan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Sarawak menjelang tahun baharu 2026.



