KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru bagi membincangkan isu rasuah yang menular di peringkat atasan.
Kata Anwar meskipun Kerajaan Madani pimpinannya menitik beratkan usaha menghapuskan rasuah namun, masih ada lagi saki baki kelompok yang terperangkap dengan pola budaya lama yang bobrok.
“Saya baru ke Istana Johor menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan di antara tema utama yang kami bincangkan ialah tentang langkah-langkah tegas tahun kebelakangan ini dan juga mutakhir ini terhadap (kes) rasuah yang menular di peringkat atasan.
“Meskipun Kerajaan Madani telah menegaskan bahawa di antara dasar utamanya ialah menekankan isu tata kelola, menghapuskan amalan rasuah dan kebejatan. Namun masih ada saki baki yang terperangkap dengan kerangka dan pola budaya lama yang bobrok.
“Saya tentunya menyampaikan maklumat terkini hasil siasatan badan-badan (berkuasa) dengan menekankan bahawa kita tidak akan bertolak-ansur , tidak akan menerima apa-apa ugutan dari mana-mana pihak dan kita akan tegas menghadapi masalah ini sama ada kawan atau lawan.
“Bahkan beberapa tindakan telah diambil yang melibatkan juga peringkat pentadbiran termasuk di pejabat saya (PMO).
“Begitu juga dengan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, pembangkang, pimpinan utama angkatan tentera dan termasuk penjawat awam,” ujar Anwar dalam sidang media pada Selasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan, beliau dan kerajaan akan terus bertindak tegas menyelamatkan negara dan dapat menggunakan dana yang sewajibnya dan wajar untuk membela nasib rakyat jelata.



