KUALA LUMPUR – Gerakan berpendirian bahawa semua perkara berkaitan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) hendaklah ditangani selaras dengan Perlembagaan PN serta melalui mekanisme gabungan yang sewajarnya.
Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, partimya menghormati proses kolektif dalam PN dan yakin bahawa Majlis Tertinggi PN akan membincangkan serta menyelesaikan perkara ini dengan penuh kebijaksanaan dan kematangan.
“Pada masa yang sama, Gerakan berharap agar semua pihak dalam PN terus bertenang dan mengekalkan fokus utama gabungan, iaitu memperkukuh perpaduan dalaman serta memperkasakan jentera menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Keutamaan ini penting bagi memastikan PN tampil sebagai sebuah pilihan yang stabil, diyakini, dan mampu menawarkan kepimpinan yang bertanggungjawab serta berorientasikan kepentingan rakyat dan masa depan negara,” ujar Dominic.
Beliau berkata demikian sebagai rakan komponen dalam PN yang sedang mengikuti perkembangan dalaman gabungan kebelakangan ini, termasuk isu pelantikan Menteri Besar Perlis serta peletakan jawatan oleh beberapa pemimpin utama PN.



