MMC sudah jelaskan, Taufiq anggap kontroversi gelaran ‘Dr’ selesai

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menganggap kontroversi berkaitan penggunaan gelaran ‘doktor’ (Dr) oleh beliau sudah selesai.

Ia, katanya, susulan penjelasan yang dibuat oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Saya percaya MMC telah pun menjelaskan perkara ini,” katanya selepas lawatan kerja ke Kompleks Belia dan Sukan Kedah, di Alor Setar lapor BH pada Isnin.

“Fokus utama saya kini adalah kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan aspirasi kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang bermakna untuk pembangunan sukan dan belia kita,” katanya.

Terdahulu pada 24 Disember lalu, MMC menjelaskan bahawa graduan perubatan boleh menggunakan gelaran ‘doktor’ bagi mencerminkan kelayakan akademik mereka, walaupun mereka tidak berdaftar sebagai pengamal perubatan dengan badan berkenaan.

Bagaimanapun, pihak pembangkang terus membangkitkan persoalan, khususnya memandangkan universiti tempat Dr Mohammed Taufiq menamatkan pengajian, Universitas Islam Bandung tidak diiktiraf oleh kerajaan, MMC atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menteri itu berkata, beliau kini mahu menumpukan perhatian kepada tugas utamanya.

“Sekarang adalah masa untuk kita bergerak ke hadapan dan melaksanakan kerja. Saya memohon ruang dan masa yang diperlukan supaya kita dapat terus maju serta memastikan pembangunan belia dan perlindungan sukan terus diperkukuhkan,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohammed Taufiq berkata, penglibatan kementerian dengan kemudahan di peringkat negeri bukan sekadar pemeriksaan rutin, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan, kebajikan dan pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Katanya, beliau juga mahukan maklum balas daripada pegawai belia dan sukan mengenai isu-isu yang boleh ditangani di peringkat kementerian.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat