KUALA LUMPUR -Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sudah menyerahkan notis pengosongan tiga kerusi DUN di negeri itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perlis, hari ini (Isnin).
Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan mengesahkan serahan notis pengosongan kerusi itu kepada SPR Perlis yang membabitkan kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping yang mana ketiga-tiga kerusi ini dimenangi oleh Pas.
“Serahan notis pengosongan kerusi itu dilaksanakan sekitar jam 12 tengah hari tadi dan diserahkan kepada Pengarah SPR Negeri Perlis, Siti Rahayu Ahmad Rusli di Pejabat SPR Perlis bagi memohon satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi memilih semula wakil rakyat di ketiga-tiga kawasan itu.
“Permohonan PRK ini akan tertakluk kepada SPR yang akan meneliti kesesuaiannya kemudian dan terserah kepada mereka untuk menentukannya,” katanya menurut Harian Metro di Kangar pada Isnin.
Kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping diumumkan kosong oleh Rus’sele selepas tiga wakil rakyat Pas, Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping) diberhentikan keahlian mereka dalam Pas kerana menjadi antara lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) termasuk lima dari Bersatu yang menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang.
Situasi itu juga menyebabkan Mohd Shukri kemudian meletakkan jawatannya pada 25 Disember lalu sebelum jawatan itu diambil alih oleh ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah selepas dilantik oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, semalam.



