CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan Kerajaan MADANI pada hari ini adalah hasil gabungan kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, Anwar berkata di peringkat domestik, kerajaan terus memperkukuh ekonomi negara melalui penarikan pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan agenda pertumbuhan yang inklusif demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Menurut beliau, usaha kerajaan tidak terhad di dalam negara sahaja, malah turut diperkasakan di peringkat antarabangsa melalui hubungan erat dengan pelbagai negara dan kumpulan pemimpin dunia. Jalinan kerjasama itu, katanya, telah membuka ruang kepada pelaburan strategik sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu, hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan sokongan padu keluarga, sahabat serta seluruh rakyat Malaysia, Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membina sebuah negara yang adil, makmur dan berdaya saing demi kepentingan semua rakyat Malaysia.



