CYBERJAYA – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa sebarang bentuk sokongan, kecenderungan atau pembiaran terhadap kezaliman adalah haram di sisi Islam, sambil mengkritik apa yang didakwanya sebagai amalan tidak adil oleh Kerajaan MADANI.
Dalam satu kenyataan bertajuk “Haram Bersimpati Kepada Kezaliman”, Abdul Hadi menekankan kewajipan umat Islam untuk beristiqamah menegakkan keadilan serta menentang kezaliman dalam semua aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi dan pemerintahan negara.
Beliau berkata, kezaliman berlaku apabila sesuatu diletakkan bukan pada tempatnya yang sebenar, dan ia merangkumi pelaksanaan undang-undang secara terpilih, penafian hak individu, pemberian projek dan peruntukan kepada pihak yang tidak berkelayakan, serta salah guna kuasa demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
“Dapat disaksikan perkara yang dilarang oleh Allah sedang dilakukan oleh Kerajaan Madani yang mendabik dada kononnya menentang kezaliman dan salah laku, namun nyata antaranya melaksanakan undang-undang dan hukuman terpilih,” katanya.
Abdul Hadi turut mendakwa terdapat usaha membesar-besarkan kesalahan pihak lawan politik, selain menutup kesalahan sendiri atau golongan yang rapat dengan pemerintah, sekali gus mencemarkan prinsip keadilan yang dituntut oleh Islam.
Menurut beliau, sejarah para nabi dan rasul menunjukkan bahawa perjuangan menentang kezaliman, khususnya oleh golongan berkuasa, merupakan tugas besar yang wajib dilaksanakan sebagai sebahagian daripada amar makruf dan nahi mungkar.
Beliau mengingatkan bahawa harta dan kekayaan yang diperoleh melalui cara yang zalim dan haram bukan sahaja tidak diberkati, malah membawa dosa berpanjangan di dunia dan akhirat.
“Islam mewajibkan menentang kezaliman sebagai jihad akbar, dan amaran Rasulullah SAW jelas bahawa doa orang yang dizalimi tidak mempunyai hijab dengan Allah,” tegasnya.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai kritikan keras terhadap kepimpinan dan tadbir urus kerajaan semasa, selain mengukuhkan pendirian PAS untuk terus membawa naratif keadilan berteraskan agama dalam wacana politik negara.



