JSM perkasa pendidikan, komuniti luar bandar menerusi inisiatif SAM

Oleh Zihan Zari

BEDONG – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Singkir menerima suntikan semangat baharu apabila Jabatan Standard Malaysia (JSM), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), menyerahkan projek naik taraf infrastruktur yang siap sepenuhnya menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM).

Majlis penyerahan simbolik projek ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JSM, See Chee Kong kepada Guru Besar SK Singkir, Roslina Ahmad, di SK Singkir dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, wakil Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Rosmira Saad; dan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Yan, Hj. Munawir Azizan.

JSM dalam kenyataan memaklumkan penyerahan ini menandakan penyempurnaan projek menaik taraf dan baik pulih prasarana sekolah secara komprehensif merangkumi pembinaan Dataran Kejat; pemasangan sistem siar raya (PA system) yang lebih efisien; pembinaan gelanggang bola tampar serta pemasangan pintu, tingkap, penghawa dingin dan water cooler.

“Inisiatif ini direalisasikan khusus bagi melonjakkan kualiti infrastruktur pendidikan di kawasan luar bandar agar setaraf dengan fasiliti di bandar, ”kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pengarah JSM, See Chee Kong menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu usaha yang melangkaui aspek fizikal semata-mata, malah menjadi manifestasi sokongan padu jabatan terhadap aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang fasiliti pendidikan.

Beliau menegaskan bahawa menerusi
projek SAM ini, JSM komited untuk menjamin akses murid SK Singkir kepada persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi memacu
pembangunan sahsiah mereka.

Menurut beliau projek ini juga dilihat sebagai langkah strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan kecemerlangan sekolah.

“Dengan adanya fasiliti sukan dan
dataran perhimpunan yang sempurna, sekolah kini bersedia untuk berfungsi sebagai hab komuniti pendidikan luar bandar, selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat secara holistik, ”ujarnya.

Tambahnya, dengan siapnya projek ini, JSM berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga SK Singkir dan komuniti setempat, sejajar dengan hasrat negara untuk
melahirkan modal insan yang cemerlang, sihat dan berdaya saing. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat