KUALA LUMPUR, — Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, memberi isyarat bahawa parti itu bersedia mempertimbangkan semula hubungannya dengan Bersatu, susulan cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, supaya PAS meninggalkan Perikatan Nasional dan menghidupkan kembali Muafakat Nasional.
Isyarat itu dizahirkan menerusi satu hantaran di media sosial apabila Ahmad Fadhli memuat naik serta menyatakan persetujuan terhadap kenyataan Dr Akmal yang mencadangkan agar Perikatan Nasional dibubarkan, khususnya susulan kemelut politik di Perlis.

“Saya sangat setuju dengan cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional ini. Inilah kunci kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadhli turut mencadangkan supaya rundingan rasmi antara PAS dan UMNO dihidupkan semula dengan penubuhan jawatankuasa perunding, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu antara kedua-dua parti berteraskan agenda perpaduan Melayu-Islam.
Beliau bagaimanapun meletakkan syarat jelas bahawa UMNO dan Barisan Nasional perlu membuat keputusan politik dengan mengisytiharkan keluar daripada gabungan bersama Pakatan Harapan, sebelum sebarang usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional dapat dilaksanakan.
“Sebolehnya UMNO dan BN isytihar keluar daripada gabungan bersama PH, dan kita lancarkan terus Muafakat Nasional,” katanya.
Kenyataan Ahmad Fadhli itu dilihat sebagai respons kepada desakan terbuka Dr Akmal yang sebelum ini menegaskan bahawa PAS perlu memberi tumpuan kepada Muafakat Nasional berbanding Perikatan Nasional, sambil menyatakan PAS kini dapat melihat “warna sebenar” Bersatu.
Muafakat Nasional merupakan kerjasama politik antara PAS dan UMNO yang dimeterai pada 2019, namun menjadi tidak aktif selepas perubahan landskap politik negara dan pembentukan gabungan kerajaan baharu.
Setakat ini, UMNO, PAS dan Bersatu belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kemungkinan perubahan pakatan politik sebagaimana yang disiratkan melalui kenyataan terbaharu itu.



